Thursday, February 26, 2009

Sokong mati-matian atau kutuk habis-habisan

Oleh Sang Kelembai Junior

Acap kali cenderung kepada seseorang mahupun kepada sesuatu golongan mendorong kita berlaku tidak adil terhadap seseorang atau segolongan yang lain. Mata serta hati jadi buta, yang salah jadi benar dan benar jadi salah. Salah dilakukan oleh golongan sendiri dipertahan mati-matian dan benar oleh golongan sebelah dipertikaikan habis-habisan.

Harus kita akui inilah yang berlaku dalam politik negara ini. Perkara ini bukan sahaja melibatkan golongan dalam PR malah turut berakar dalam BN sendiri. Yang berada dalam PR tidak ada lain yang dilakukan mereka kecuali merendah-rendah dan mempersenda projek yang dilakukan BN manakala yang berada dalam BN pula tidak habis-habis mengutuk program yang dilaksanakan PR.

Harus kita insafi bahawa tidak semua dilakukan BN itu salah dan tidak semua diimplementasi PR itu benar. Begitu juga terdapat situasi politik pada hari ini yang tidak semestinya memaparkan BN sebagai watak antogonis semata-mata. Sama halnya bilamana PR tidak semestinya berada dalam watak protagonis setiap masa.

Yang sering dipapar kepada kita ialah bilamana para penyokong PR dengan teganya dalam setiap ketika dan waktu, akan mempertahankan setiap tindakan dari parti mereka. Benar atau salah dalam hakikat yang sebenar tidak penting. Yang penting apa yang diucapkan oleh pemimpin mereka tidak ada yang benar melainkan benar sahaja.

Hal ini bukan saya cakap begitu sahaja tanpa sandaran fakta. Cuba kita toleh bilamana dikaitkan nama Altantuya dengan TPM Dato' Seri Najib. Hal ini ditimbulkan oleh PR khususnya ketika berlangsungnya PRK Ijok kira-kira dua tahun lalu. Atas bukti dan sandaran apa dikaitkan Altantuya dengan Najib?

Seingat saya, sehingga sekarang tiada bukti kukuh dikemukakan PR untuk mengesahkan dakwaan mereka itu. Yang ada hanyalah foto komposit dimana melibatkan Najib, Altantuya dan Razak Baginda. Sudah namanya pun foto komposit, kesahihannya dipertikai dan kewujudannya tidak membawa sebarang erti.

Bahkan ketika PRK Permatang Pauh Ogos tahun lalu, Najib sendiri telah bersumpah di Masjid Guar Perahu dekat Bukit Mertajam bagi menafikan tuduhan tersebut. Jadi yang lebih hampir kepada sikap adil ialah tidak ditimbulkan lagi kaitan antara beliau dengan Altantuya. Soal sama ada Najib bersumpah palsu atau benar, itu hal lain. Yang pasti Najib telah bersumpah dengan nama Allah menafikan segala tuduhan terhadap beliau, dan tindakan tersebut harus dihormati.

Tapi umum mengetahui bahawa sumpah Najib yang diharap dapat memadam episod bersiri Altantuya terhadap beliau nampaknya tidak mencapai sasaran. PR terus-menerus menggunakan nama Altantuya untuk menyerang peribadi beliau. Malang bertimpa bilamana para penyokong PR turut mempercayai dakwaan pemimpin mereka. Bukti tidak ada tidak mengapa asalkan semua penyokong berada di belakang, yang ragu-ragu bisa jadi benar. Tak apa, might is right!!

Sama halnya dengan penyokong-penyokong BN. Mereka yang diharap lebih matang dalam berpolitik dek kerana tangan mereka menggapai kuasa malangnya tidak ada bezanya dengan pendokong PR. Tidak keterlaluan kadang-kala tindakan mereka lebih teruk jika dibandingkan dengan penyokong PR.

Dalam isu kenaikan harga minyak Jun tahun lalu umpamanya, menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab mereka. Memang diakui bahawa masalah tersebut berpunca dari krisis harga minyak global, tapi tidak dapat disangkal juga bahawa terdapat kaedah yang boleh diimplimentasi bagi mengelakkan kenaikan harga yang membebankan rakyat itu.

Hal ini dibuktikan melalui kaedah yang diperjelaskan oleh Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam debat bersama Menteri Penerangan pada Julai tahun lalu. Jika kerajaan yang ada benar-benar optimis dalam membela nasib rakyat, seharusnya idea tersebut datang dari mereka dan bukan dari Anwar. Tapi yang berlaku adalah sebaliknya.

Lebih malang lagi bilamana kaedah diperjelas Anwar itu bukan sahaja tidak diambil iktibar oleh BN bahkan diperlecehkan. Anwar dituduh sengaja mencari kesempatan melalui kesempitan hidup rakyat demi mencapai cita-cita politik peribadi beliau. Tidak ada kesedaran dari BN sama ada untuk mengkaji sama ada relevan atau tidak kaedah yang dilontarkan Anwar itu, terus senyap sunyi dan rakyat menderita.

Bahkan serangan BN terhadap Anwar ini dipercayai bulat-bulat oleh para penyokongnya. Kaedah dilontarkan Anwar itu benar berniat membela nasib rakyat tapi dinafikan, hanya kerana berbeza fahaman politik. Mereka rela membiarkan rakyat terbanyak hidup menderita hanya untuk memenuhi kehendak politik sempit mereka.

Ini antara situasi yang berlaku di negara ini yang pada hemat saya, memperlihatkan ketidakmatangan rakyat kita dalam politik. Banyak lagi contoh boleh diberikan tapi saya kira cukuplah dua, satu dari BN dan satu lagi dari PR.

Niat saya dalam memaparkan isu ini ialah demi meningkatkan kematangan berpolitik di kalangan rakyat kita. Hormati aspirasi dan tindakan dari pihak lain sungguhpun kita tidak bersetuju dengan mereka. Mungkin apa yang diusahakan oleh pihak lain itu lebih baik dari apa yang ingin diusahakan oleh kita. Boleh jadi juga pihak yang kita hina sehari-hari itu lebih sempurna dari kita. Mungkin tidak sempurna dari maksud yang nisbi tapi lebih sempurna jika dibuat perbandingan dengan kita.

Akhir kalam, suka kiranya saya sertakan sepotong ayat dari al-Quran, moga-moga kita mengambil iktibar selari dengan apa yang telah diperkatakan di atas. Al-Maidah (5:8) mafhumnya, "Hai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum (bangsa) mendorong kamu untuk berlaku tidak adil, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui yang kamu kerjakan."

Selamat berubah dan bereformasi!!

No comments: