Saturday, December 13, 2008

Percaturan politik Abdullah yang serba tak menjadi

Oleh Sang Kelembai Junior

Dewasa ini, acap kali perbincangan tentang Datuk Seri Abdullah Badawi disertai dengan komen negatif. Berbeza dengan permulaan penampilannya sebagai PM lima tahun lalu yang sering disanjung dan dipuja, Abdullah hari ini tak ubah seperti “melukut di tepi gantang”.

Bila Abdullah tak bersuara tak terasa kehilangan apa-apa, bila Abdullah bersuara tak siapa pula mahu mendengarnya. Nyata, ahli UMNO lebih berminat mencongak masa depan mereka di bawah Najib yang bakal diisytiharkan sebagai Presiden pada Perhimpunan Agung Mac depan.

Keputusan tak terjangka dalam PRU12 lepas dijadikan alasan untuk majoriti ahli UMNO merejam batu hukuman ke atas Abdullah. Pelbagai kritikan dan hentaman ditujukan kepadanya. Tidak ketinggalan mengambil tempat adalah Dr. Mahathir.

Kesempatan terbaik untuk menyahkan terus Abdullah digunakannya semahu-mahunya. Macam-macam cerita dicanang Mahathir, termasuk tentang kekesalan yang membawa kepada permohonan maafnya kerana dianggap tersilap melantik Abdullah ke jawatan PM.

Tak cukup dengan itu, kelantangan suara dari dalam UMNO juga kedengaran. Naib Presiden UMNO, Muhyiddin Yassin bersuara dengan keras, menuntut supaya tempoh peralihan kuasa Jun 2010 dikaji semula.

Sungguhpun selepas itu Abdullah membentak Muhyiddin atas sikapnya itu, nyata Abdullah terlalu lembik untuk mempertahankan kerusi kekuasaannya. Pada 9 Oktober lepas, Abdullah mengumumkan untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden UMNO pada pemilihan depan.

Secara automatiknya, ia satu mesej mengenai persaraannya sebagai Presiden dan PM selepas Mac 2009. Simpati saya pada Abdullah. Percaturan politiknya untuk terjun ke gelanggang PRU12 terlalu cepat hanya memakan diri.

Umum mengetahui, Abdullah dan Kabinetnya punya waktu yang panjang lagi untuk diadakan PRU12. Mandat yang diberikan rakyat pada PRU11 lalu hanya akan tamat pada April 2009.

Tapi nyata Abdullah memilih jalan sukar, mengadakan pilihanraya di kala mandat partinya baru berjalan tiga tahun 11 bulan. Akibatnya, pil pahit yang harus ditelan Abdullah.

Hasratnya yang utama dengan berbuat demikian adalah untuk menghalang kemunculan semula Anwar Ibrahim ke Dewan Rakyat. Tempoh larangan politik Anwar yang hanya berakhir pada April membuatkan Anwar hilang kelayakan untuk sama-sama menyertai PRU tersebut.

Tapi semua itu sudah tak berguna. Sungguhpun Anwar tidak turut menjadi calon dalam PRU12 itu, pembangkang masih mampu menang 82 kerusi di samping merampas pentadbiran lima buah negeri, termasuk di kalangan negeri-negeri seperti Selangor dan Perak yang dulunya dianggap mustahil untuk jatuh ke tangan pembangkang.

Tewasnya BN di lima negeri yang menyumbang hampir 60 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dan kegagalan mempertahankan 2/3 majoriti di Dewan Rakyat telah sekaligus membuka pintu kepada pengakhiran karier politik Abdullah.

Anwar pula kembali ke Dewan Rakyat dengan kemenangan yang lebih meyakinkan berbanding kejayaan yang diperoleh isterinya dalam PRU12 lepas. Nyata, kemaraan Anwar tak dapat disekat sungguhpun habis ikhtiar digunakan Abdullah.

Apa lagi yang mampu dilakukan Abdullah kini? Majoriti ahli UMNO sudah tak menghiraukannya lagi. Mereka kini lebih selesa berpaut pada Najib.

Seksanya menjadi Abdullah, menghitung hari-hari terakhir sebagai Presiden UMNO dan PM Malaysia.

Thursday, December 11, 2008

Ready, get set and…..what?

Oleh Sang Kelembai Junior

Tak sampai empat bulan buat Datuk Seri Abdullah Badawi sebelum melepaskan jawatannya sebagai Presiden UMNO. Selepas berakhirnya Perhimpunan Agung UMNO yang berlangsung dari 24-28 Mac depan, Abdullah hanya akan dikenali sebagai ahli UMNO biasa. Sebagaimana Abdullah meniti ke puncak kuasa tanpa diduga, begitu juga dengan persaraannya.

Tak siapa menduga Abdullah akan mewarisi kepimpinan Dr. Mahathir selepas tersingkirnya Anwar secara tak hormat dari UMNO dan kerajaan. Umumnya, Abdullah ketika itu bukanlah berada dalam wilayah pewarisan takhta. Ramai kalangan menduga selepas Anwar adalah Najib. Bagi Abdullah, kedudukannya sebagai Naib Presiden yang mendapat majoriti kedua terbanyak selepas Najib membuatkannya tak pernah mengimpikan sampai ke puncak kekuasaan.

Tapi, itulah dikatakan nasib. Manusia mampu merancang, namun akhirnya perencanaan Allah jua diterjemahkan. Dengan meninggalkan Najib, Dr. Mahathir melantik Abdullah sebagai timbalannya. Kini, individu yang bertanggungjawab melantik Abdullah ke kerusi PM, orang itu jugalah yang menunjukkan jalan keluar kepada Abdullah. Benarlah kata pepatah “Tangan yang membina bisa juga menghancurkan”.

Kita tinggalkan dulu mengenai persaraan Abdullah. Realitinya, Abdullah masih lagi menghuni Seri Perdana dan masih kekal mengetuai Kabinet. Suara Abdullah juga masih berkuasa di Dewan Rakyat. Semalam (10 Disember) Abdullah membentangkan dua rang undang-undang mengenai rasuah dan sistem kehakiman negara. Di dalam rang undang-undang itu, terdapat cadangan penubuhan dua buah suruhanjaya, iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah dan Suruhanjaya Perlantikan Hakim.

Kali terakhir rang undang-undang Pencegahan Rasuah dibentangkan di Dewan Rakyat adalah pada tahun 1997 bilamana Anwar memangku jawatan PM. Ketika itu, pindaan dari akta sebelumnya itu antara lain, membenarkan tindakan undang-undang diambil terhadap individu yang telah bersara dari jawatannya dalam mana-mana sektor perkhidmatan sekiranya mereka terbukti terbabit dengan rasuah. Ini bermakna jika sesuatu individu yang telah meninggalkan jawatannya, sebagai contoh, selama lima tahun, tetap boleh diambil tindakan mahkamah sekiranya bukti mencukupi.

Gendang penubuhan Suruhanjaya Perlantikan Hakim pula telah lama berbunyi. Bulan April lepas, serentak dengan perisytiharan Abdullah tentang pemberian ex-gratia kepada hakim-hakim yang terlibat dalam krisis badan kehakiman 1988, Abdullah turut mengumumkan cadangan kerajaan untuk menubuhkan suruhanjaya ini.

Malangnya, hanya selepas hampir lapan bulan berlalu, barulah hal ini menjadi kenyataan. Itu pun baru di peringkat pembacaan rang undang-undang. Perlu tunggu pula untuk perbahasan di Dewan Rakyat dan diluluskan sebelum dibawa ke Dewan Negara untuk pembentangan, diperincikan, dan seterusnya diluluskan. Barulah rang undang-undang ini akan menjadi undang-undang yang boleh diimplimentasikan di negara ini.

Saya berpendapat, dua suruhanjaya ini seharusnya ditubuhkannya ketika mula-mula Abdullah bertampuk di kerusi PM lagi. Tak perlu tunggu selepas lima tahun baru nak tunjuk pada rakyat yang kerajaan serius membanteras rasuah dan memperjuangkan sistem kehakiman yang bebas. Umum mengetahui bahawa dua isu ini, rasuah dan kebobrokan badan kehakiman negara, telah lama berada di tahap paling kritikal. Adalah lebih bijak bagi Abdullah jika beliau menanganinya terlebih awal dan bukan di saat tergesa-gesa sebelum persaraannya.

Tapi apa boleh buat? Masa tak akan berputar ke belakang. Apa yang harus kita lakukan ialah dengan memandang ke hadapan yang menjanjikan cabaran yang lebih menjerihkan. Saya mengharapkan dua suruhanjaya legasi Abdullah ini dapat memainkan peranannya secara telus, bebas, dan berintegriti tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak, khususnya pihak pemerintah. Penubuhannya seharusnya memberi kelegaan serta harapan kepada rakyat untuk melihat sistem pentadbiran yang tidak korup dan menegakkan negara hukum. Kepada Najib, diharap kedua-dua suruhanjaya ini tak terkubur bersama karier politik Abdullah Mac depan.

Wednesday, December 10, 2008

Pindaan AUKU

Pindaan AUKU: Ijazah dilucut jika terbabit skandal

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2008 yang dibacakan buat kali kedua di Dewan Rakyat hari ini akan menambah baik dan memperluas autonomi universiti.

Perkara itu akan dilaksanakan dengan memindahkan beberapa kuasa Yang di-Pertuan Agong dan menteri kepada pihak berkuasa universiti yang antara lainnya terdiri daripada Lembaga Pengarah Universiti (LPU), Senat dan Naib Canselor.

"Melalui rang undang-undang ini, kuasa untuk menubuhkan fakulti dan jabatan yang dahulunya berada di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong diberikan kepada Senat.

"Pindaan ini adalah selaras dengan fungsi Senat sebagai badan utama akademik di universiti," kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata, rang undang-undang itu juga amat menitikberatkan keterbukaan, ketelusan dan akauntabiliti dalaman serta luaran pentadbiran sesebuah universiti.

"Justeru, suatu jawatankuasa pengurusan universiti yang bertujuan untuk menasihati Naib Canselor dalam perkara pentadbiran dan pengurusan universiti akan ditubuhkan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Khaled berkata, rang undang-undang itu akan membenarkan pelajar untuk bersekutu dengan atau menjadi anggota sesuatu pertubuhan, persatuan atau organisasi sama ada dalam atau luar negara.

"Bagaimanapun, pelajar adalah dilarang untuk terlibat dengan parti politik sama ada dalam negara atau luar negara, pertubuhan menyalahi undang-undang dan tidak sesuai demi kepentingan pelajar dan universiti.

"Meskipun, terdapat larangan ke atas pelajar untuk berpolitik, rang undang-undang ini masih memberikan sedikit pengecualian. Kuasa untuk memberi pengecualian ini akan dilaksanakan oleh Naib Canselor," katanya.

Selain itu, katanya rang undang-undang itu akan turut memberi canselor kuasa untuk melucutkan ijazah daripada mana-mana siswazah atas sebab melakukan perbuatan skandal.

"Sebelum dilucutkan, siswazah berkenaan hendaklah diberi hak untuk didengar," katanya.

Mohamed Khaled turut menegaskan bahawa AUKU tidak terpakai ke atas Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS).

Katanya, UIAM dikecualikan daripada pemakaian AUKU kerana ia ditubuhkan di bawah triti antara kerajaan dengan negara-negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).

"Dalam hal ini, tadbir urus UIAM adalah berdasarkan kepada perlembagaannya sendiri yang bersumberkan kepada Akta Syarikat 1965 (Akta 125)," katanya.

Mohamed Khaled berkata, UiTM pula ditubuhkan di bawah aktanya sendiri iaitu Akta Universiti Teknologi Mara 1976 (Akta 173).

"Bagaimanapun, dalam hal berkaitan disiplin dan tatatertib pelajar, UiTM adalah tertakluk kepada Akta Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 (Akta 174).

"Kebanyakan peruntukan dalam akta berkenaan adalah hampir sama dengan peruntukan di bawah AUKU," katanya.

Beliau berkata, IPTS pula tertakluk kepada Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555) yang mengandungi peruntukan mengenai penubuhan, pendaftaran, pengurusan dan pengawalseliaan serta kawalan kualiti pendidikan yang disediakan oleh IPTS di negara ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Khaled berkata, rang undang-undang yang dicadangkan itu juga akan memberi kebebasan kepada pelajar bersuara dalam hal berkaitan akademik.

"Pelajar dibenarkan untuk memberi pendapat dalam seminar dan simposium dengan syarat, majlis berkenaan tidak dianjurkan atau diberi peruntukan kewangan oleh parti politik, pertubuhan yang menyalahi undang-undang serta pertubuhan, badan atau kumpulan yang dikenalpasti oleh menteri sebagai tidak sesuai demi kepentingan pelajar atau universiti," katanya.

Selain itu, katanya rang undang-undang itu juga akan membenarkan menteri untuk menubuhkan kampus cawangan bagi sesebuah universiti di luar negara.

"Ini akan dapat memastikan dasar pengantarabangsaan pendidikan tinggi negara dapat dilaksanakan," katanya. BERNAMA

Text taken from the star online.

Tuesday, December 9, 2008

Gelombang Kedua Dilema Melayu

Oleh Sang Kelembai Junior

Dilema Melayu atau "The Malay Dilemma" adalah buku hasil karangan mantan PM Tun Dr. Mahathir pada 1970. Buku ini diterbitkan sejurus selepas kekalahannya dalam pilihanraya umum 1969 di Parlimen Kota Star. Di dalam buku itu antaranya, Tun mengecam Tunku yang dilabelkannya sebagai pro orang Cina sehingga terlalu memperkayakan mereka dan melupakan orang Melayu.

Tun memang diakui seorang yang ekstrem Melayu. Perjuangannya yang teguh berpaksikan bangsa itu menyebabkan beberapa isu yang melibatkan kepentingan bangsa Melayu turut diulas di dalam buku tersebut. Antaranya; (1) Bangsa Melayu adalah merupakan peribumi (Bumiputera) di Malaysia, (2) Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan dan adalah perlu bagi bangsa-bangsa lain untuk turut mempelajarinya, (3) Sikap toleransi dan tak suka berbalah bangsa Melayu telah disalah tafsir oleh bangsa lain sehingga mereka terpaksa merempat di tanah air mereka sendiri seperti ketika zaman penjajahan British, dan (4) Tindakan tegas harus diambil untuk memperbetulkan kedudukan perniagaan yang selama ini dikuasai oleh orang-orang Cina.

Itu 40 tahun lalu. Kini, situasi hampir sama melanda. Kejayaan PR khususnya dari DAP dan PKR yang memperlihatkan kemenangan banyak calon dari kalangan bukan Melayu telah membangkitkan kebimbangan sedemikian semula. Orang-orang Melayu dimomokkan dan ditakutkan, kononnya nasib mereka akan malap jika pentadbiran negara dikuasai oleh orang bukan Melayu. Mereka akan jadi seperti Melayu di Singapura, disisih dan dinafikan hak seterusnya lupus dengan sendirinya. Lebih parah, sentimen agama turut dimainkan. Islam akan direndahkan martabat dan hak untuk mengamalkannya akan dinafikan sekiranya golongan ini dapat menguasai pemerintahan.

Ini seharusnya meletakkan orang-orang Melayu sekali lagi dalam dilema. Mereka mahukan pentadbiran negara yang bebas dari rasuah, sistem kehakiman yang bebas, badan kepolisian yang profesional, dan macam-macam lagi. Tapi, sentimen bangsa dan agama melebihi segala-galanya. Mereka tak rela demi mencapai kebebasan dan pembersihan badan-badan yang terpalit noda itu, nasib bangsa dan agama mereka digadaikan. Dengan itu, mereka akan kekal menyokong dan mengundi UMNO dan BN sungguhpun parti itu telah menunjukkan kegagalan dalam mentadbir khususnya ekonomi negara ini.

Secara peribadi, saya melihat UMNO dan BN telah berjaya memainkan isu bangsa dan agama ke atas orang Melayu. Memang pantang bagi orang Melayu jika hak dan keistimewaan mereka diganggu-gugat dan dicabar. Bermati-matian akan dipertahankan sungguhpun natijahnya bukan majoriti Melayu yang untung, tapi hanya dua tiga kerat orang politik UMNO sahaja. Sungguh memalukan bagi UMNO kerana rakyat memilih mereka bukan kerana mereka layak dan cekap mengurus negara, tapi kerana sentimen rakyat yang dipermain dan diperbodohkan mereka.

Friday, December 5, 2008

Oh Melayu...

Oleh Farisz

Setelah Mac 8 2008 Malaysia telah dilanda tsunami perubahan dari segi politik dan boleh dirasai oleh kita sebagai rakyat. Begitu banyak sekali isu-isu 'besar' yang telah terjadi selepas rakyat telah memilih untuk membuka pintu kepada PR. Antara isu yang paling mendapat perhatian saya adalah isu membuka peluang kepada bukan bumiputera untuk mendapat tempat di dalam UiTM.

Pelajar UiTM dengan 'hebatnya' mengadakan demonstrasi besar-besaran menentang cadangan untuk membuka peluang kepada bangsa lain ke dalam UiTM. Kenapa? Kenapa mereka menentang dengan sesungguh-sungguhnya kepada cadangan ini? Adakah mereka takut kepada saingan? Adakah dengan membuka peratusan kecil quota ke dalam UiTM kepada bukan bumiputera akan menghancurkan 'Melayu'? Ataupun adakah kita sudah begitu lama dimanjakan sehingga menjadi bangsa yang penakut yang takut akan cabaran? Adakah sikap penakut itu sikap bangsa Melayu?

Jikalau kita marah pabila ungkapkan sahaja isu mengenai UiTM akan dicemari oleh bukan bumiputera, kita sepatutnya perlu malu berlipat kali ganda kerana bukan bumiputera walaupun tanpa institusi seperti UiTM dan sebagainya mampu untuk menguasai ekonomi negara. Kita dengan UiTM hanya layak menjadi pekerja kepada bukan bumiputera.Tidakkah ini menunjukkan kepincangan sistem pendidikan 'apartheid' yang dilaksanakan?

Tunku Abdul Aziz di dalam bukunya bertajuk 'Fighting Corruption : My Mission' berkata penubuhan 'Mara Colleges' akan menyebabkan Melayu yang belajar disana merasakan bahawa mereka adalah dari golongan 'istimewa' dan mereka tidak akan memahami langsung konsep persaingan dan sekiranya tiada persaingan Melayu tidak akan berkembang dan maju. Justeru itu, kita boleh lihat bagaimana graduan graduan Melayu tidak mampu bersaing secara kompetetif di dalam pasaran pekerjaan. Sebuah konsep yang dahulunya dilaksanakan untuk meletakkan Melayu di tahap yang tinggi sebaliknya 'backfired' dan akibatnya melahirkan graduan yang 'unemployable'. Beliau juga berkata "They are unemployable not because of any economic situation, but because they are unemployable."

Jadi sampai bila kita mahu terus mengayuh basikal menggunakan 'training wheels' dan terus leka. Pangkalnya disini, adakah kita berani untuk mengaku akan kelemahan bangsa kita dan mengetepikan ego yang besar untuk belajar daripada bukan bumiputera yang terbukti jauh lebih berjaya meskipun tidak diberi layanan 'istimewa' seperti yang kita terima?

Thursday, December 4, 2008

My hero....

Fight for your rights

Tuesday, December 2, 2008

PM Malaysia Tidak Semestinya Datang Dari UMNO

Oleh Sang Kelembai Junior

Secara peribadi, saya berasakan melayari dan membaca tulisan di dalam blog mantan PM Tun Dr. Mahathir Mohamad amat menyeronokkan. Tulisannya yang jujur terhasil dari pemikirannya yang tajam sentiasa membibitkan rasa kagum di hati saya. Ditambah dengan sikap sinisnya dalam menempelak sesuatu individu atau dasar sering menggamit perhatian pelayar-pelayar blog itu.

Tulisannya yang terbaru bertajuk "Mac 2009" sungguh menarik untuk diteliti. Menarik, bukan kerana ia membicarakan tentang peralihan kuasa yang dikatakan akan berlaku antara Abdullah dan Najib, tetapi dalam tulisan itu Tun telah sekali lagi mengulangi kenyataannya, secara tak langsung, mengenai jawatan PM yang boleh dipilih dari kalangan bukan Melayu.

Dalam satu perenggan tulisannya, Tun menyebut bahawa pemilihan Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN sebagai PM selama puluhan tahun sejak merdeka adalah atas dasar tradisi sahaja, atas semangat muafakat dan kepercayaan bangsa lain terhadap orang Melayu. Tapi tegas beliau, selain dari Presiden UMNO dan Pengerusi BN, jika diberi kepercayaan dan mendapat sokongan majoriti, mereka juga boleh menduduki kerusi yang diidam-idamkan semua itu. Maknanya, di kalangan parti-parti komponen BN seperti MCA, MIC, Gerakan, PPP serta parti-parti dari Sabah dan Sarawak juga ada peluang pemimpinnya untuk jadi PM.

Beliau kemudiannya melampirkan beberapa contoh dari pihak pembangkang. Contohnya, jawatan MB Kelantan itu dipegang oleh Datuk Nik Aziz sungguhpun Presiden Pasnya ialah Datuk Seri Hadi Awang. Tak ketinggalan di Pulau Pinang dimana Lim Guan Eng sebagai Ketua Menteri walaupun umum mengetahui Lim Kit Siang adalah Penasihat DAP, seorang pemimpin de facto DAP yang sangat berpengaruh.

Apa sebenarnya mesej Tun dari tulisan ini? Secara peribadi, saya melihat ianya sebagai satu kesinambungan dari kenyataan Tun baru-baru ini, iaitu orang bukan Melayu boleh dilantik jadi PM. Tun dikenali sebagai pemimpin berpandangan jauh dan tajam penglihatan serta pemikirannya. Pilihanraya 8 Mac jelas menunjukkan pertambahan kerusi dari DAP dan calon-calon PKR di kalangan bukan Melayu.

Tun mungkin melihat suatu hari nanti kemungkinan untuk dilantik seorang bukan Melayu sebagai PM akan benar-benar terjadi. Sudah pastinya bukan dari BN, kerana UMNO pasti takkan membiarkan "ketuanan" mereka sejak kemerdekaan itu terlepas ke pihak lain. Tapi tidak mustahil datang dari pembangkang. Bagi saya, Tun mahu mengajar rakyat Malaysia bagaimana harusnya kita bereaksi jika dibentangkan permasalahan seperti ini di masa hadapan. Secara emosional atau rasional?

Hari ini pembangkang dikenali sebagai Pakatan Rakyat (PR). Anwar, seorang Melayu menjadi kepalanya. Tapi kepala PR itu boleh dipilih dari tiga parti yang membuat pakatan longgar itu. Mungkin perkara ini takkan terjadi sekarang, kerana karisma kepimpinan Anwar yang sangat berkesan dan dilihat faktor yang menyatu-padukan parti-parti pembangkang.Tapi, di masa depan, siapa tahu?

Katakanlah, selepas Anwar pergi dan PR ditunjangi oleh bukan Melayu dan mendapat sokongan, ditambah menang pilihanraya umum serta dapat membentuk kerajaan di peringkat persekutuan, maka secara automatiknya individu itu layak untuk menjadi PM. Perlantikannya sah dan kepimpinannya harus diakui oleh seluruh rakyat kerana beliau diangkat melalui sistem demokrasi yang selama ini kita junjung tinggi.

Saya tak berniat mahu mengulangi hujah-hujah membenarkan PM diangkat dari bukan Melayu. Perkara ini telah diulas melalui tulisan terdahulu bertajuk "Perdana Menteri bukan Melayu?". Sila baca dan teliti untuk memahami justifikasi perlantikan PM di kalangan bukan Melayu, jika berlaku suatu hari nanti.

Akhir kalam, mesej Tun Dr. Mahathir itu harus dilihat secara mendalam dan difahami oleh ketiga-tiga pihak. Siapakah ketiga-tiga pihak ini? Pertama, parti pemerintah yang tetap teguh dengan "Ketuanan Melayu" mereka. Keduanya, pihak pembangkang yang rata-rata mereka memperjuangkan kesamarataan tanpa mengira latar belakang kaum, gender dan agama. Namun yang terlebih penting adalah yang ketiga ini, iaitu rakyat, yang dari mereka, kerana mereka, dan untuk merekalah sesuatu kerajaan itu ditubuhkan. Walau siapa saja berkuasa, niat dan tujuan itu hendaklah demi kepentingan rakyat terbanyak.

Puak Erdogan Dalam Pas?

Oleh Sang Kelembai Junior

Buletin Utama TV3 bermula 26 November lepas memaparkan cebisan berita mengenai berlakunya konflik dalam kepimpinan Pas negeri Selangor. Berita yang disiar secara bersiri selama tiga hari berturut-turut itu antara lainnya memaparkan;

(a) penyingkiran dua tokoh penting Pas negeri, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad dan ADUN Hulu Kelang, Saari Sungib dilihat sebagai satu proses "pembersihan" Pas dari golongan pro-Anwar,

(b) Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa dituduh sebagai penggerak yang mengetuai golongan muda profesional dalam Pas untuk menuntut perubahan, serta tak ketinggalan Setiausaha Agungnya Datuk Kamaruddin Jaafar dan Bendahari Agung Dr. Hatta Ramli sering dilihat ada setiap kali Anwar buat liputan media,

(c) Pas mungkin akan di-PKR-kan jika golongan pro-Anwar yang juga dikenali sebagai puak Erdogan ini tidak dilupuskan,

Benarkah adanya puak Erdogan dalam Pas? Atau mungkinkah ini satu lagi propaganda media yang sedia maklum dikuasai dan dibelenggu oleh pemerintah berkepentingan?