Tuesday, February 24, 2009

PRK Bukit Gantang dan Bukit Selambau, SPR cenderung berpihak?

Oleh Sang Kelembai Junior

Malaysia sekali lagi bakal menyaksikan PRK. Kini, melibatkan dua kerusi sekaligus pada waktu yang sama. Satu melibatkan kerusi Parlimen manakala satu lagi di peringkat DUN.

Kedua-dua kerusi tersebut menyaksikan satu kerusi Parlimen melibatkan P059 Bukit Gantang dan DUN pula N25 Bukit Selambau, masing-masing di Perak dan di Kedah.

Ini merupakan PRK ke-3 dan ke-4 yang bakal berlangsung semenjak berlalunya PRU-12 Mac tahun lalu. Sebelum ini, telah dua PRK berjalan bilamana melibatkan P044 Permatang Pauh (26 Ogos 2008) manakala P036 Kuala Terengganu (17 Januari 2009).

Kekosongan P059 Bukit Gantang akibat daripada penyandangnya, Roslan Shaharum dari Pas meninggal dunia 9 Februari lalu. Manakala N25 Bukit Selambau pula menyaksikan penyandangnya, V. Arumugam dari PKR meletakkan jawatan sehari kemudiannya.

Yang ingin diperkatakan oleh awok di sini bukan mengenai pertempuran antara BN dengan PR untuk merebut kedua-dua kerusi tersebut. Tapi ada isu yang menarik perhatian awok membuatkan awok terpanggil untuk mengulasnya.

Halnya berkisar mengenai penentuan 7 April depan sebagai tarikh pengundian bagi kedua-dua kerusi tersebut. PR terutamanya mencemuh SPR sebagai tidak telus, cenderung berpihak dan menjadi agen BN semata-mata.

Malangnya PR gagal mengemukakan dalil konkrit dalam menegakkan hujah mereka. Apa yang dicanang mereka ialah 7 April adalah tarikh selepas berakhirnya Perhimpunan Agung UMNO yang dijadualkan berlangsung pada akhir Mac depan.

Ini, kata mereka, memberi kelebihan kepada BN terutamanya UMNO dalam merangka strategi bagi menghadapi PRK tersebut. Menurut perkiraan PR, apabila perhimpunan UMNO selesai, UMNO sudah tentunya dapat menumpukan perhatian kepada PRK tersebut tanpa memikirkan kepada perkara lain.

Ini semestinya berbeza jika PRK diadakan pada masa sama perhimpunan UMNO berlangsung. Fokus UMNO pasti terbahagi dua, satu pada perhimpunan agung manakala satu lagi di PRK. Ini sekaligus bakal mengurangkan kekuatan komitmen mereka dalam PRK dan dilihat bakal menatijahkan kekalahan di kedua-dua kerusi tersebut.

Sepanjang penelitian awok, SPR telah menjalankan tugas yang dipertanggungjawabkan kepada mereka dengan telus dan adil. Cuba lihat apa yang berlaku di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu. Jika SPR cenderung kepada BN, berkemungkinankah PR akan menang di kedua-dua kerusi tersebut?

Hujah PR dalam isu ini juga rapuh. Bagi mereka, dek kerana tarikh tersebut selepas perhimpunan UMNO, terus dilabelkan dengan gelaran negatif.

Tidakkah mereka terfikir bagaimana jika mereka berada dalam keadaan sebaliknya. Maksud awok, bagaimana jika komponen PR sama ada Pas, PKR atau DAP menghadapi situasi sama seperti UMNO kini. Pas dengan Muktamarnya manakala PKR dan DAP dengan Kongresnya.

Bayangkan jika Pas adakan Muktamarnya akhir Mac ini. Agaknya apa pula tuduhan Pas jika SPR memilih untuk menjadikan 23 atau 25 atau 27 Mac dimana selari dengan Muktamarnya sebagai tarikh PRK tersebut? Awok pasti Pas akan mengecam SPR sebagai berat sebelah dan pelbagai lagi tohmahan akan dihalakan kepada SPR.

Pas pasti berhujah keputusan SPR itu bagi menutup ruang bagi mereka dalam merencana jentera pilihan raya. Tuduh mereka, ini akan menyebabkan mereka kalah dalam PRK tersebut.

Sama halnya dengan UMNO. Jika SPR menetapkan PRK tersebut dijalankan selari dengan tarikh perhimpuan UMNO dijalankan, maka UMNO pula akan menuduh SPR sebagai tidak adil. Jadi di sini, jalan selamat bagi SPR adalah mengambil "jalan menang-menang".

Keputusan SPR berhubung tarikh 7 April depan, bagi saya, tidak mencerminkan langsung sikap berat sebelah SPR. Bahkan lebih memaparkan sikap adil badan tersebut.

PR seharusnya lebih matang dalam membahaskan sesuatu perkara. Isu remeh seperti ini sepatutnya ditangani dengan lebih bijak pada masa depan. Jangan jadi seperti dahulu, menghina SPR jika kalah tapi bila menang puji pula. Sekadar menasihati PR yang awok sayangi.

No comments: