Wednesday, March 25, 2009

Umno Terus Mara....


Bersatu Kita Bersatu

Dengan Setia Berganding Bahu

Jiwa Teguh Berpadu

Kita Rumpun Melayu



Bersama Kita Bersama

Mendukung Hasrat Semua

Berjasa Pada Bangsa

Agama Dan Negara



Lambang Kita Yang Gagah

DiPandang Mulia Dan Indah

" BERSATU , BERSETIA , BERKHIDMAT "

Cogan Katanya

UMNO Terus Mara

Untuk Rakyat Malaysia


Wahai rakyat Malaysia sekalian, marilah kita bersedia menghadapi zaman kegelapan yang akan bermula April ini....Aku amat bimbang melihat situasi yang melanda negara kita yang bakal diterajui pemimping yang penuh dengan kontroversi...Sudah kelihatan bakat kuku besi beliau...Beliau akan menghantar kita kembali kepada zaman kegelapan...Jadi apabila 3 pilihan raya kecil yang bakal berlansung nanti aku harap para pengundi akan mengundi dengan minda bukan mengundi atas dasar sentimental...Negara perlukan perubahan...!!! Buktikan bahawa RAKYAT adalah raja....!!!

Sunday, March 8, 2009

Apa Yang Kita Inginkan..???

Oleh wan23,

Malaysia kini dilanda pelbagai isu besar yang mampu menggugat kestabilan negara.Dari PPSMI ke krisis 'demokrasi pokok' di Perak hinggalah ke 3 pilihan raya yang bakal kita hadapi pada bulan hadapan dan tidak lupa juga bakal PM kita yang semakin hari semakin banyak skandal yang melanda beliau.Belum lagipun jadi PM sudah pelbagai perkara kurang enak yang dapat kita dengari beginikah insan yang bakal memimpin kita???. Apa yang jelas adalah kesabaran rakyat semakin hari semakin tercabar angkara karenah 'politiking' ahli-ahli politik kita. Mereka kini begitu asyik berpolitik sehinggakan nasib rakyat tidak lagi menjadi keutamaan , perjuangan mereka tidak lagi seperti apa yang dijanjikan oleh mereka ketika sedang asyik bertanding dahulu. Janji-janji yang ditaburkan sehinggakan berbaldi-baldi tempias air liur ketika ceramah politik mereka kini hanya tinggal kenangan.

Jika senario sebegini terus berlaku, yang rugi adalah rakyat. Sudah tiba masanya rakyat sedar akan hakikat bahawa dalam sister demokrasi yang dipraktikkan di negara kita, RAKYAT adalah RAJA....bukan ahli politik, dan bukan RAJA...mereka sepatutnya takut kepada rakyat bukan sebaliknya seperti apa yang kita hadapi sekarang....kita tidak sepatutnya takut untuk bangun dan bersuara menyatakan pendapat kita...Aku sudah rimas dan jelak dengan permainan politik yang menjadikan rakyat sebagai mangsa yang terhimpit didalam konflik politik kita...ayuh wahai rakyat Malaysia mari kita bangkit dan perjuangkan hak-hak kita

Saturday, March 7, 2009

Mengenang 12 purnama yang lalu

Oleh Sang Kelembai Junior

Tanggal hari Sabtu bersamaan 8 Mac 2008 merupakan detik yang sangat-sangat bersejarah. Hari yang benar-benar mendatangkan kejutan maha besar kepada kedua-dua pihak, BN dan PR (dulu dikenali BA).

Terkejut BN berbeza dengan terkejut PR. Terkejut BN dek kerana pukulan kekalahan di lima negeri terkaya di Malaysia di samping kegagalan mempertahankan majoriti 2/3 kerusi di Parlimen.

Di peringkat Parlimen, prestasi BN tidaklah seburuk tahun 1969 bilamana BN cuma menang di 74 daripada 104 kerusi dipertandingkan. Pada tahun itu, kira-kira 51 peratus sahaja kerusi yang dimenangi BN dan itu keadaan yang sangat-sangat genting.

Manakala dalam PRU-12, BN menang di 140 kerusi daripada 222 yang dipertandingkan. Bermakna kira-kira 60 peratus kerusi menjadi milik mereka.

Namun berbeza di Parlimen, BN mempamerkan prestasi jauh lebih buruk daripada PRU 1969 di peringkat negeri. Jika tahun itersebut, BN cuma kehilangan Kedah dan Kelantan kepada Pas serta Pulau Pinang kepada Gerakan (sebelum menyertai BN), tapi PRU-12 menyaksikan pertambahan negeri jatuh ke tangan pembangkang iaitu Perak dan Selangor.

Ditambah pula dengan tewasnya ramai calon BN di Kuala Lumpur. Daripada 11, BN cuma menang satu kerusi melalui Menteri Wilayah Persekutuan, Dato' Seri Zulhasnan Rafique di Setiawangsa.

Bertitik-tolak dari keputusan PRU 8 Mac 2008 itu telah menyaksikan satira politik yang tidak berkesudahan hingga kini.

Kalau boleh disebutkan satu-persatu di sini seperti desakan perletakan jawatan PM Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi oleh ahli-ahli BN, penubuhan PR yang dilihat sebagai kerajaan alternatif terbaik menggantikan BN, kenaikan harga petrol di pasaran semasa serta kegagalan kerajaan menanganinya yang membangkitkan lagi kemarahan rakyat dan keluarnya parti komponen SAPP pimpinan Dato' Yong Teck Lee dari BN.

Tidak lupa juga dengan kemasukan kembali Ezam Mohd. Noor ke dalam Umno, kembalinya Dato' Seri Anwar Ibrahim ke Parlimen dengan kemenangan besar di Permatang Pauh sungguhpun dibelenggu tuduhan liwat, gagasan 16 September yang didendangkan oleh Anwar tidak kesampaian hingga kini dan berterusannya kemenangan PR di Kuala Terengganu yang menyaksikan BN kecundang dan merana kehilangan kerusi tersebut.

Namun peristiwa terbesar dan paling menggemparkan sudah pasti apa yang berlaku di Perak. Negeri yang mana majoriti rakyatnya memilih PR pada PRU-12 telah dirampas oleh BN secara tidak sah.

Hingga kini kemelut tesebut tidak langsung menampakkan tanda-tanda akan reda, apatah lagi berakhir. Perak yang dulunya pernah huru-hara disebabkan kewujudan dua Sultan dalam satu masa, kini dua MB pula dalam satu ketika.

Beberapa minggu lagi pula bakal menyaksikan Perhimpunan Agung Umno berlangsung. Agaknya kali ini merupakan perhimpunan termurung pernah dialami Umno terkesan dari PRU-12 lalu.

Dan kemudian, pada 7 April pertembungan PRK di dua Bukit, Bukit Gantang dan Bukit Selambau bakal sekali lagi menjadi medan ujian buat BN dan PR. Buat BN, kekalahan sekali lagi memberi isyarat bahawa peralihan kuasa di peringkat Pusat tidak membawa sebarang makna serta kejadian seperti di Perak tidak dapat diterima oleh rakyat terbanyak.

Buat PR pula, kemenangan sekali lagi menguatkan lagi hujah bahawa rakyat sudah benar-benar yakin bahawa PR adalah kerajaan alternatif terbaik untuk menggantikan BN. Ini juga membuktikan bahawa rakyat tetap bersama-sama PR sungguhpun pelbagai serangan dilakukan BN melalui media massa milik mereka.

Hari ini (8 Mac 2009) genap sudah setahun selepas peristiwa bersejarah tersebut. Setahun pertama telah kita sebagai rakyat Malaysia lalui dengan jayanya, sunggupun disulami suka dan duka. Bagaimana pula tempoh setahun yang kedua selepas ini, apa pula satiranya?

Thursday, March 5, 2009

Bersinarkah Harapan Mac 2009?

Oleh Sang Kelembai Junior

Bulan Mac tahun ini sungguh amat signifikan buat seluruh rakyat Malaysia. Bukan kerana menyambut bulan kemerdekaan mahupun tarikh lahir pemimpin-pemimpin besar negara.

Tapi lebih dari itu, pada bulan ini, diramalkan akan berlakunya peralihan kuasa melibatkan pimpinan tertinggi negara. PM Dato' Seri Abdullah Badawi dijangka menyerahkan takhta 5 tahun 5 bulannya kepada Dato' Seri Najib Razak.

Dalam kalangan Umno khususnya melihat peralihan kuasa Abdullah-Najib bakal menyinarkan kembali harapan sokongan rakyat kepada mereka. Pentadbiran Abdullah yang didakwa lembik dan terlalui dikuasai oleh golongan tertentu (baca keluarga=Tingkat 4) dituduh menjadi punca kepada prestasi buruk BN dalam PRU lepas.

Benarkah harapan BN khususnya Umno yang menjadi tunjang kepada perikatan itu bakal dilanda transformasi sekiranya tampuk Presiden Umno dan PM berubah? Adakah akan melahirkan natijah kebaikan atau lebih buruk lagi dilanda badai berterusan?

Tatkala BN mempamerkan prestasi terburuknya dalam PRU-12 Mac tahun lalu, seluruh jari menuding ke arah Pengerusinya. Siapa lagi kalau bukan Abdullah. Sungguhpun Umno menang banyak kerusi Parlimen dan DUN, Abdullah tidak terlepas dari tanggungjawabnya sebagai bukan hanya Presiden Umno bahkan lebih dari itu sebagai Pengerusi BN.

Serangan bertubi-tubi tanpa henti datang dari segenap sudut. Luar dan dalam, tidak kira menjengah saban hari. Paling lantang sudah tentu mantan PM Tun Dr. Mahathir.

Tidak kurang dari itu, Dr. Mahathir menghamparkan peluru penaburnya terhadap Abdullah. Teorinya Abdullah harus berundur. Ini bagi memastikan Umno dan BN kembali kepada perjuangan asalnya. Selagi Abdullah berada dalam Umno dan BN, rakyat tidak akan yakin kepada parti itu sampai bila-bila.

Dan ini dipercayai oleh rakyat, khususnya dua golongan. Siapa dua golongan ini? Pertama, penyokong Dr. Mahathir. Penyokong Dr. Mahathir tidak semestinya ahli Umno.

Ramai di kalangan masyarakat yang saya temui secara peribadi mengakui menyokong Pakatan Rakyat tapi tetap menghormati Dr. Mahathir. Kata mereka, Dr. Mahathir telah berjasa besar dalam membangunkan pembangunan fizikal dan ekonomi negara.

Bagi golongan ini, perbandingan antara era Dr. Mahathir dengan zaman Abdullah akan dipertimbangkan. Ketegasan, kebijaksanaan dan keberanian Dr. Mahathir dalam membuat sesuatu keputusan membabitkan kepentingan negara akan dibandingkan dengan sikap terlalu berhati-hati, tersangat teliti dan terlalu lama untuk mengambil tindakan yang diamalkan Abdullah.

Mereka percaya sikap Abdullah ini adalah punca kepada kemerosotan sokongan terhadap BN. Maka pendapat Dr. Mahathir ini terpakai pada mereka.

Golongan kedua pula adalah ahli Umno itu sendiri. Perlu diingat juga di sini bahawa tidak semua ahli Umno menyokong Dr. Mahathir.

Tapi teori popular Dr.Mahathir ini sekurang-kurangnya mengisi kekosongan pemikiran mereka yang tercari-cari individu yang mahu dipersalahkan dari pukulan PRU lepas. Sungguhpun mereka agak kurang senang dengan kelantangan Dr. Mahathir dalam mengkritik Abdullah sebelum PRU-12 dulu, namun kritikan Dr. Mahathir dalam menyalahkan Abdullah diterima bulat-bulat oleh mereka.

Buktinya sebelum PRU-12, siapakah yang berani menentang Abdullah secara terang-terangan? Jawapannya tiada siapa. Semuanya merafak sembah "mana titah kami junjung, mana perintah kami sokong".

Tapi trend selepas PRU nyata berbeza besar. Abdullah tidak lagi dihormati malah kadang-kala kenyataanya sudah berani disanggah oleh individu-individu yang dikenali sebagai "orang beliau" sejak sekian lama.

Dato' Seri Dr. Rais Yatim sebagai contoh, adalah rakan karibnya bilamana bersama-sama dalam Team B tatkala pemilihan Umno 1987 dulu. Kedua-duanya menjunjung Tengku Razaleigh Hamzah untuk dinobatkan sebagai Presiden Umno seterusnya.

Sungguhpun Abdullah tidak ikut serta bersama Dr. Rais membentuk Semangat 46, penyingkiran Abdullah dari Kabinet oleh Dr. Mahathir tahun 1988 dulu memberi isyarat jelas bahawa beliau bukan tergolong dalam Team A yang menyokong Dr. Mahathir.

Namun apa yang berlaku hari ini sangat berlainan. Dr. Rais berani mengeluarkan kenyataan yang dilihat bercanggah dengan Abdullah. Lihat sahaja bilamana Dr. Mahathir mencadangkan bahawa "orang-orang" Abdullah seharusnya digugurkan daripada Kabinet Najib akan datang.

Reaksi balas Abdullah sungguh menampakkan kemarahan beliau. Dr. Mahathir dituduh sebagai berlagak dalam mencatur hala tuju Umno sedangkan beliau sendiri telah keluar dari parti itu. Kata Abdullah, Umno punya pemimpin yang boleh menentukan hala tujunya tanpa perlu mendapat nasihat dari seorang yang bukan ahli Umno.

Menteri-menteri yang dulunya hanya mampu tunduk dan berkata "yes sir" telah berubah wajah, temasuklah Dr. Rais. Dalam komennya terhadap reaksi balas Abdullah mengenai kenyataan Dr. Mahathir itu, beliau menyatakan bahawa Dr. Mahathir mempunyai locus standi untuk bersuara memberikan pendapatnya tentang Umno.

Ini sudah tentu mengejutkan Abdullah. Ditambah dengan tindakan orang kepercayaan beliau sekian lama, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempertikaikan tarikh peralihan kuasa Jun 2010 yang dianggap terlalu lama. Tindakan Muhyiddin itu dilihat mempercepatkan penghantaran Abdullah ke gerbang persaraan.

Bertitik-tolak dari teori Dr. Mahathir itu, Abdullah akur melepaskan kuasanya menjelang Mac ini. Angin perubahan mula dirasakan, kata ahli Umno. Persoalannya, benarkah begitu?

Lihat saja PRK Kuala Terengganu Januari lalu. Dalam ucapan pengenalan calon BN 20 Disember tahun lepas, Najib sebagai Pengarah Pilihan Raya BN petah menyebut, "Do or die". Membawa maksud BN mesti menang dan tidak boleh menerima kekalahan lagi. Mungkin bagi Najib, cukuplah keperitan di Permatang Pauh, tidak mahu lagi berulang.

Harapan diberikan dan gendang peralihan kuasa dimainkan BN. Kalau dulu BN kalah sebab Abdullah masih PM tapi kini Abdullah sudah umumkan bakal menyerahkan kuasa kepada Najib, maka rakyat telah pulang semula ke pangkuan BN. Itu mantera yang mereka imani.

Tapi rakyat sekali lagi menunjuk jalan keluar kepada BN. BN sebagai penyandang kerusi Kuala Terengganu merana kehilangan kerusi kawasan tersebut dengan majoriti yang besar. Margin kerusi Parlimen antara Pakatan Rakyat dan BN turut mengecil.

Maka setelah pelbagai ikhtiar dilaksanakan BN, masih berpeluangkah bagi mereka untuk terus hidup ketika majoriti rakyat semakin hari menunjukkan taring menolak mereka? Mantera "liwat" sudah digunakan di Permatang Pauh, "peralihan kuasa Abdullah-Najib" di Kuala Terengganu dan "derhaka" di Perak tapi rakyat dilihat tidak juga pulang ke pangkuan BN.

Jadi bernilaikah peralihan kuasa Mac ini? Atau sekadar syok sendiri pimpinan Umno dan BN dalam keadaan rakyat sudah muak dengan sandiwara wayang mereka. Tunggu saja PRK di dua Bukit, bakal memanifestasikan aspirasi dan suara rakyat untuk didengar oleh pimpinan negara.