Wednesday, April 22, 2009

BN Pejuang Rakyat?

Oleh Sang Kelembai Junior

Beberapa minggu kebelakangan ini, negara kecoh lagi bilamana ADUN Penanti yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Fairus Khairuddin melepaskan jawatannya sebagai wakil rakyat kawasan berkenaan. Melanjutkan pelajaran dijadikan alasan oleh Fairus dalam mengambil keputusan sedemikian sungguhpun ramai kalangan melihat ianya berpunca daripada krisis dalaman PKR.

Walau apa pun sebab mahupun alasan Fairus meletakkan jawatan, hakikat yang harus didepani selepas ini ialah sebuah lagi PRK bakal berlangsung. Menurut rekod semenjak PRU-12 Mac tahun lalu, PRK Penanti ini merupakan PRK ke-6 selepas Permatang Pauh (26 Ogos), Kuala Terengganu (17 Januari) serta masing-masing di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai (7 April).

Belum pun SPR bermesyuarat bagi menentukan tarikh PRK Penanti, sudah pula timbul cakap-cakap kononnya BN tidak akan bertanding dalam PRK tersebut. Mengelakkan pembaziran wang rakyat serta memberikan sepenuh penumpuan bagi mengukuhkan Umno dan BN dijadikan alasan oleh pihak yang melontarkan cakap-cakap tersebut bagi menyerah kalah sebelum bertempur.

Saya hanya mampu gelak kuat-kuat bilamana maklum dengan alasan nakal itu. Nyata yang melontarkan cakap-cakap tersebut mahu menipu rakyat. Menipu dengan memainkan sentimen rakyat, sedangkan semua orang tahu sebab sebenarnya bukanlah sebegitu.

Mengapa setelah kalah teruk di 4 kawasan dan menang cuma 1 kawasan PRK sebelum ini, baru cakap-cakap seperti ini kedengaran? Mengapa sesudah BN terbukti gagal meyakinkan rakyat untuk kembali menyokong mereka, timbul pula cakap-cakap 'gila' seperti ini?

Umno dan BN tidak perlu berdolak-dalih. Kalau takut, cakap saja takut. Kalau bimbang bakal menanggung malu jika kalah dalam PRK tersebut, maklumkan saja. Tidak perlulah memainkan sentimen rakyat kononnya mereka terlalu prihatin kemana hilangnya ratusan ribu ringgit yang terpaksa digunakan untuk menguruskan sesuatu PRK. Rakyat sudah jelek dan muak dengan retorik basi seperti itu.

Wednesday, April 8, 2009

BN kalah Bukit Gantang dan Bukit Selambau, tonik BN tak menjadi?

Oleh Sang Kelembai Junior

Peralihan kuasa dari Abdullah kepada Najib telah pun berlangsung kira-kira 4 hari sebelum gendang PRK 7 April lalu. Rakyat khususnya ahli Umno melihat ini sebagai satu pencetus yang bakal mengembalikan zaman kegemilangan parti Melayu itu.

Keyakinan itu makin terjelma bilamana melihat 'kesungguhan' PM baru itu melaksanakan 'reformasi' ala mee segera seperti membebaskan 13 tahanan ISA, penarikan balik larangan penerbitan Harakah dan Suara Keadilan dan janji untuk menilai semula penggunaan ISA. Sifir mereka, inilah tanda perubahan yang ditunggu-tunggu oleh rakyat.

Ditambah pula dengan talian hayat yang diberikan oleh Tun Dr. Mahathir sekembalinya beliau ke dalam Umno tidak lama selepas Najib diangkat menjadi Presiden Umno dan PM. Maka berkempenlah Mahathir semahu-mahunya, melepaskan gian dan rindu dendam yang sekian lama terpendam tatkala era Abdullah dulu.

Tak lama sebelum itu pula, kepimpinan Umno menyaksikan perubahan termasuklah Timbalan Presidennya, susunan Naib Presidennya, ahli Majlis Tertingginya, Ketua Pemudanya, Ketua Wanitanya dan tak ketinggalan Ketua Puterinya. Ditolak Khairy, kesemua yang menang itu dialu-alukan kemenangan mereka dan digembar-gemburkan dalam media arus perdana bahawa inilah barisan baru Umno yang bakal mengembalikan sokongan rakyat kepada mereka.

Dengan semua kapasiti di atas, Umno dilihat turun ke PRK Bukit Gantang dan Bukit Selambau dengan imej baru. Kepimpinannya baru, aspirasinya baru dengan harapan menagih semula sokongan rakyat yang telah hilang semenjak bermulanya transformasi politik 8 Mac tahun lalu.

Namun, takdir menentukan Umno yang memimpin BN tewas di Bukit Gantang beserta rakan gabungan mereka, MIC tumbang di Bukit Selambau. Bukan setakat tewas, bahkan dimalukan dengan kekalahan bersama majoriti yang lebih besar berbanding yang diperolehi dalam PRU-12 lalu.

Apalah agaknya silap Umno dan BN? Mereka punya kekuatan dari sudut kewangan. Dari sudut itu, mereka jauh lebih mendahului PR. Dari sudut media, sungguhpun PR tidak punya tempat dalam media arus perdana, tapi hakikatnya BN jauh ketinggalan. Jika BN menguasai televisyen dan akhbar, PR pula menguasai blog, SMS, akhbar alternatif dan macam-macam lagi.

Juga, apalah pula kata Dr. Mahathir melihat kepada situasi ini. Bukankah beliau individu yang tak habis-habis dengan teorinya mengatakan Abdullah sebagai barah dalam Umno dan kerajaan yang perlu disingkirkan? Bukankah individu yang sama juga mendakwa bahawa sokongan terhadap Umno hanya akan pulih bilamana Abdullah tidak lagi berada puncak kekuasaan dalam parti dan kerajaan? Apa lagi modal beliau selepas ini?

Saturday, April 4, 2009

Najib dan Reformasi?

Oleh Sang Kelembai Junior

Tanggal hari Jumaat 3 April satu lagi sejarah negara tercipta. Seorang lagi insan diangkat menjadi Perdana Menteri (PM) Malaysia menjadikan jumlah individu yang pernah menjawat kerusi tersebut sebanyak enam orang.

Insan yang dimaksudkan tidak lain dan tidak bukan adalah Dato' Seri Najib Razak. Sungguhpun peribadinya terselaput dengan segenap tuduhan, dari rasuah sehinggalah pembunuhan, masih lagi mampu menongkah arus dan menggapai kedudukan yang diidam-idamkannya sejak sekian lama itu.

Saya tidak bermaksud mahu menukilkan segala jerit-perih, ranjau berduri malah jatuh bangun Najib dalam arena politik. Gebangan media arus perdana sama ada elektronik mahupun media cetak tidak langsung meninggalkan ruang buat rakyat kerdil seperti saya untuk 'mengkisahkan' itu semua.

Cerita-cerita 'hebat' beliau semenjak menyertai politik pada tahun 1976, kemudiannya dilantik sebagai Menteri Besar (MB) Pahang dalam usia 29 tahun, seterusnya memimpin Pemuda Umno, menjadi Naib Presiden paling popular dan sehinggalah dilantik menjadi Timbalan PM didendangkan dalam media arus perdana bermula semalam (3 April).

Saya yakin perkara ini akan berterusan untuk beberapa lama. Paling kurang sehingga sebelum PRK Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai pada 7 April depan.

Cuma yang menarik perhatian saya khususnya dan pasti rakyat amnya, adalah berkisar mengenai agenda 'reform' yang ingin atau telah dilakukan Najib. Najib sendiri ketika berucap kali pertama sebagai Presiden Umno di perhimpunan agung parti itu baru-baru ini telah secara langsung menyebut perkataan 'reform' di hadapan ribuan perwakilan yang hadir ke perhimpunan tersebut.

Dan apa yang dilakukan Najib sejurus saja selepas mengangkat sumpah sebagai PM ke-6? Beliau membebaskan 13 tahanan ISA selain menarik balik larangan 3 bulan pengharaman lidah rasmi Pas dan PKR iaitu Harakah dan Suara Keadilan. Tidak ketinggalan mengenai janji beliau untuk menilai semula penggunaan ISA di negara ini.

Soalnya sekarang adakah benar dan ikhlaskah Najib menunaikan perkara-perkara seperti disebut di atas? Pembebasan tahanan ISA semacam sudah sinonim bagi seorang PM yang baru mengambil alih dari PM sebelumnya.

Tun Hussein Onn umpamanya membebaskan tahanan ISA setelah beliau mengambil alih dari Tun Abdul Razak. Antara yang dibebaskan ketika itu ialah Dato' Seri Anwar Ibrahim yang ditahan sebelum itu berpunca dari tunjuk perasan di Baling, Kedah.

Namun tidak lama selepas itu, Tun Hussein meneruskan legasi zalim pemimpin sebelumnya. Beberapa individu kemudiannya ditahan di bawah ISA dan antara individu tersebut adalah Tokoh Kewartawanan Negara, Allahyarham Tan Sri Samad Ismail.

Begitu juga dengan mantan PM Tun Dr. Mahathir Mohamad. Beliau membebaskan tahanan ISA di awal permulaan kariernya sebagai PM. Antara nama yang dibebaskan termasuklah Tan Sri Samad Ismail sendiri. Namun rakyat tahu kemudiannya bagaimana Dr. Mahathir telah secara zalim menggunakan akta tersebut untuk menekan dan menindas golongan yang tidak sebulu dengan beliau.

Tun Abdullah Ahmad Badawi juga tidak ketinggalan dalam hal ini. Seingat saya, beliaulah satu-satunya pemimpin bertaraf PM yang sangat dialu-alukan perlantikan beliau sebagai PM. Di sana-sini namanya disebut, kononnya beliau ini mewakili wajah Islam dek kerana latar belakang keluarganya, beimej Mr. Clean dan macam-macam lagi.

Ketika itu lagi, beberapa tindakan telah diambil oleh Abdullah buat menunjukkan kredibilitinya kepada rakyat. Imejnya yang kuat menentang rasuah kemudiannya dibuktikan dengan penangkapan bekas Pengerusi Perwaja, Eric Chia dan bekas menteri kabinet, Tan Sri Kasitah Gadam. Waktu itu, seluruh rakyat melihat Abdullah sebagai mewakili kebenaran hakiki, satu kebenaran yang tidak pernah terserlah dalam mana-mana personaliti PM sebelum ini.

Namun akhirnya rakyat kecewa juga. Eric Chia kemudiannya dibebaskan dan disabitkan tidak bersalah. Kasitah Gadam pula tidak kedengaran kesnya di mana-mana mahkamah. Jelas sekali, Abdullah hanya bersandiwara dan rakyat tertipu lagi.

Tidak berbeza dengan mana-mana PM sebelumnya, Abdullah juga membebaskan sebahagian tahanan ISA tanda permulaan bersih pentadbirannya. Tapi lama-kelamaan ISA semacam sudah sebati dengan Abdullah sehingga acap kali digunakan terhadap individu-individu yang dituduh kononnya menjadi ancaman kepada negara.

Nama-nama seperti B.S.A. Tahir, Raja Petra, Teressa Kok, M. Manoharan, P. Uthayakumar dan puluhan yang lain adalah antara mangsa kekejaman ISA di bawah Abdullah. Sehingga wartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng turut dikenakan tahanan ISA kerana didakwa melaporkan berita yang didakwa boleh mewujudkan ketegangan kaum di negara ini.

Rentetan dari peristiwa-peristiwa di atas, saya secara peribadi menganggap tindakan Najib itu tidak membuktikan apa-apa pun. Bahkan beliau tidak ubah seperti pemimpin-pemimpin sebelumnya yang memperdayakan rakyat. Sebagaimana sumpah seranah pernah diucapkan kepada PM terdahulu, lebih teruk mungkin dihalakan kepada Najib.

Ini kerana rakyat kini lebih terdedah kepada persekitaran yang dilitupi pengetahuan dan informasi. Hal sekecil kuman juga boleh sampai kepada telinga rakyat. Tipu daya, kepura-puraan dan kezaliman sang penguasa hanya bakal mengundang gelak tawa rakyat yang sudah menyampah dengan retorik murahan seperti yang ditunjukkan Najib itu.