Thursday, October 8, 2009

Kiri atau Kanan

Kiri atau Kanan
Malaysia yang kini telah berusia 52 tahun sudah banyak menghadapi dugaan dan cabaran sebagai sebuah negara .Dengan mempunyai komposisi bangsa yang begitu ramai, cabaran-cabaran tersebut berkali-kali ganda lebih susah untuk kita hadapi dan tempuhi. Bukan sahaja bangsa malah perbezaan agama terbukti telah menyulitkan lagi “transition” Malaysia dari sebuah negara dunia ketiga kepada negara maju yang telah diutarakan oleh mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir melalui Wawasan 2020.
Apa yang pasti kini kita sedang berada di satu persimpangan dimana kita perlu memilih hala tujuan kita sebagai sebuah negara. Kita dapat lihat dimana pihak kerajaan berada di belah kanan dan pihak “pembangkang” berada di belah kiri. Pada hemat saya antara penyebab kita sedang menghadapi masalah politik sekarang adalah kerana kita kini tiada suatu destinasi untuk ditujui. “Like a ship without a captain” itulah yang dapat saya katakana apabila melihat situasi kita sekarang. Pihak kerajaan pada saya merupakan “the safe way to go” kerana formula yang mereka perjuangkan adalah formula yang sama yang digunakan dari dahulu dan kita sudah terbiasa dan amat selesa dengan formula tersebut, manakala pula pihak pembangkang menawarkan sesuatu yang jauh berbeza daripada yang diperjuangkan kerajaan. Mereka menawarkan wadah perjuangan yang baru kepada rakyat Malaysia, sebuah formula yang belum pernah dicuba dimana hasilnya tidak dapat kita jangkakan.
Perbezaannya mudah, disatu pihak perjuangan mereka adalah berdasarkan “the norm” ataupun norma kehidupan yang dinikmati daripada datuk nenek kita sehinggalah kini. Formula mereka terbukti berkesan didalam membina sebuah negara yang aman dan makmur disamping terbukti meletakkan Malaysia dipeta dunia. Lihat saja menara berkembar Petronas, menara Kuala Lumpur, litar sepang dan sebagainya. Kini Malaysia tidak lagi dikenali sebagai negara “the country south of Thailand and North of Singapore” di kalangan penduduk Malaysia. Kita kini mempunya imej tersendiri yang telah terukir atas usaha usaha pemimpin kita yang terdahulu dan juga yang kini. Namun begitu , sejak kebelakangan ini dapat kita perhatikan sudah ada suara yang inginkan perubahan. Memang benar pihak kerajaan telah membawa kepada suatu tahap yang membanggakan, tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kita seolah-olah nyenyak “tidur” dibuai mimpi.

Disinilah datangnya pihak pembangkang yang menawarkan suata formula yang baru untuk memacu Malaysia ke tahap yang baru. Mereka memperjuangkan “equality”, “meritocracy” dan juga gaya pemikiran yang jauh berbeza. Kepada mereka yang sudah biasa dengan norma-norma kehidupan yang dinikmati selama ini mereka sudah tentu tidak dapat menerima “pembahuruan” yang ingin dibawa oleh pembangkang. Sudah lebih setengah abad kerajaan mempin negara, dan pada hemat saya mereka telah membawa kita sejauh mungkin yang mereka mampu dengan ideology mereka. Kini sudah tiba saatnya untuk kita memberanikan diri melangkah ke era yang baru. Kita perlu berani berubah.
Amerika Syarikat kini sudahpun mampu mempunyai Presiden kulit hitam, sedangkan kaum kulit hitam dahulu dibawa ke Amerika untuk dijadikan hamba kini boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa lain. China, yang pada suatu masa dahulu mengamalkan dasar pintu tertutup kini sudah berani berubah dan setelah membuka pintu kepada dunia luar , China kini merupakan sebuah negara yang paling pesat membangun dan tidak lama lagi mungkin akan mengambil alih tempat Amerika Syarikat sebagai kuasa terbesar di dunia.
Negara-negara yang disebut telah memberanikan diri untuk berubah. Persoalannya beranikah kita?

Wednesday, April 22, 2009

BN Pejuang Rakyat?

Oleh Sang Kelembai Junior

Beberapa minggu kebelakangan ini, negara kecoh lagi bilamana ADUN Penanti yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Fairus Khairuddin melepaskan jawatannya sebagai wakil rakyat kawasan berkenaan. Melanjutkan pelajaran dijadikan alasan oleh Fairus dalam mengambil keputusan sedemikian sungguhpun ramai kalangan melihat ianya berpunca daripada krisis dalaman PKR.

Walau apa pun sebab mahupun alasan Fairus meletakkan jawatan, hakikat yang harus didepani selepas ini ialah sebuah lagi PRK bakal berlangsung. Menurut rekod semenjak PRU-12 Mac tahun lalu, PRK Penanti ini merupakan PRK ke-6 selepas Permatang Pauh (26 Ogos), Kuala Terengganu (17 Januari) serta masing-masing di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai (7 April).

Belum pun SPR bermesyuarat bagi menentukan tarikh PRK Penanti, sudah pula timbul cakap-cakap kononnya BN tidak akan bertanding dalam PRK tersebut. Mengelakkan pembaziran wang rakyat serta memberikan sepenuh penumpuan bagi mengukuhkan Umno dan BN dijadikan alasan oleh pihak yang melontarkan cakap-cakap tersebut bagi menyerah kalah sebelum bertempur.

Saya hanya mampu gelak kuat-kuat bilamana maklum dengan alasan nakal itu. Nyata yang melontarkan cakap-cakap tersebut mahu menipu rakyat. Menipu dengan memainkan sentimen rakyat, sedangkan semua orang tahu sebab sebenarnya bukanlah sebegitu.

Mengapa setelah kalah teruk di 4 kawasan dan menang cuma 1 kawasan PRK sebelum ini, baru cakap-cakap seperti ini kedengaran? Mengapa sesudah BN terbukti gagal meyakinkan rakyat untuk kembali menyokong mereka, timbul pula cakap-cakap 'gila' seperti ini?

Umno dan BN tidak perlu berdolak-dalih. Kalau takut, cakap saja takut. Kalau bimbang bakal menanggung malu jika kalah dalam PRK tersebut, maklumkan saja. Tidak perlulah memainkan sentimen rakyat kononnya mereka terlalu prihatin kemana hilangnya ratusan ribu ringgit yang terpaksa digunakan untuk menguruskan sesuatu PRK. Rakyat sudah jelek dan muak dengan retorik basi seperti itu.

Wednesday, April 8, 2009

BN kalah Bukit Gantang dan Bukit Selambau, tonik BN tak menjadi?

Oleh Sang Kelembai Junior

Peralihan kuasa dari Abdullah kepada Najib telah pun berlangsung kira-kira 4 hari sebelum gendang PRK 7 April lalu. Rakyat khususnya ahli Umno melihat ini sebagai satu pencetus yang bakal mengembalikan zaman kegemilangan parti Melayu itu.

Keyakinan itu makin terjelma bilamana melihat 'kesungguhan' PM baru itu melaksanakan 'reformasi' ala mee segera seperti membebaskan 13 tahanan ISA, penarikan balik larangan penerbitan Harakah dan Suara Keadilan dan janji untuk menilai semula penggunaan ISA. Sifir mereka, inilah tanda perubahan yang ditunggu-tunggu oleh rakyat.

Ditambah pula dengan talian hayat yang diberikan oleh Tun Dr. Mahathir sekembalinya beliau ke dalam Umno tidak lama selepas Najib diangkat menjadi Presiden Umno dan PM. Maka berkempenlah Mahathir semahu-mahunya, melepaskan gian dan rindu dendam yang sekian lama terpendam tatkala era Abdullah dulu.

Tak lama sebelum itu pula, kepimpinan Umno menyaksikan perubahan termasuklah Timbalan Presidennya, susunan Naib Presidennya, ahli Majlis Tertingginya, Ketua Pemudanya, Ketua Wanitanya dan tak ketinggalan Ketua Puterinya. Ditolak Khairy, kesemua yang menang itu dialu-alukan kemenangan mereka dan digembar-gemburkan dalam media arus perdana bahawa inilah barisan baru Umno yang bakal mengembalikan sokongan rakyat kepada mereka.

Dengan semua kapasiti di atas, Umno dilihat turun ke PRK Bukit Gantang dan Bukit Selambau dengan imej baru. Kepimpinannya baru, aspirasinya baru dengan harapan menagih semula sokongan rakyat yang telah hilang semenjak bermulanya transformasi politik 8 Mac tahun lalu.

Namun, takdir menentukan Umno yang memimpin BN tewas di Bukit Gantang beserta rakan gabungan mereka, MIC tumbang di Bukit Selambau. Bukan setakat tewas, bahkan dimalukan dengan kekalahan bersama majoriti yang lebih besar berbanding yang diperolehi dalam PRU-12 lalu.

Apalah agaknya silap Umno dan BN? Mereka punya kekuatan dari sudut kewangan. Dari sudut itu, mereka jauh lebih mendahului PR. Dari sudut media, sungguhpun PR tidak punya tempat dalam media arus perdana, tapi hakikatnya BN jauh ketinggalan. Jika BN menguasai televisyen dan akhbar, PR pula menguasai blog, SMS, akhbar alternatif dan macam-macam lagi.

Juga, apalah pula kata Dr. Mahathir melihat kepada situasi ini. Bukankah beliau individu yang tak habis-habis dengan teorinya mengatakan Abdullah sebagai barah dalam Umno dan kerajaan yang perlu disingkirkan? Bukankah individu yang sama juga mendakwa bahawa sokongan terhadap Umno hanya akan pulih bilamana Abdullah tidak lagi berada puncak kekuasaan dalam parti dan kerajaan? Apa lagi modal beliau selepas ini?

Saturday, April 4, 2009

Najib dan Reformasi?

Oleh Sang Kelembai Junior

Tanggal hari Jumaat 3 April satu lagi sejarah negara tercipta. Seorang lagi insan diangkat menjadi Perdana Menteri (PM) Malaysia menjadikan jumlah individu yang pernah menjawat kerusi tersebut sebanyak enam orang.

Insan yang dimaksudkan tidak lain dan tidak bukan adalah Dato' Seri Najib Razak. Sungguhpun peribadinya terselaput dengan segenap tuduhan, dari rasuah sehinggalah pembunuhan, masih lagi mampu menongkah arus dan menggapai kedudukan yang diidam-idamkannya sejak sekian lama itu.

Saya tidak bermaksud mahu menukilkan segala jerit-perih, ranjau berduri malah jatuh bangun Najib dalam arena politik. Gebangan media arus perdana sama ada elektronik mahupun media cetak tidak langsung meninggalkan ruang buat rakyat kerdil seperti saya untuk 'mengkisahkan' itu semua.

Cerita-cerita 'hebat' beliau semenjak menyertai politik pada tahun 1976, kemudiannya dilantik sebagai Menteri Besar (MB) Pahang dalam usia 29 tahun, seterusnya memimpin Pemuda Umno, menjadi Naib Presiden paling popular dan sehinggalah dilantik menjadi Timbalan PM didendangkan dalam media arus perdana bermula semalam (3 April).

Saya yakin perkara ini akan berterusan untuk beberapa lama. Paling kurang sehingga sebelum PRK Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai pada 7 April depan.

Cuma yang menarik perhatian saya khususnya dan pasti rakyat amnya, adalah berkisar mengenai agenda 'reform' yang ingin atau telah dilakukan Najib. Najib sendiri ketika berucap kali pertama sebagai Presiden Umno di perhimpunan agung parti itu baru-baru ini telah secara langsung menyebut perkataan 'reform' di hadapan ribuan perwakilan yang hadir ke perhimpunan tersebut.

Dan apa yang dilakukan Najib sejurus saja selepas mengangkat sumpah sebagai PM ke-6? Beliau membebaskan 13 tahanan ISA selain menarik balik larangan 3 bulan pengharaman lidah rasmi Pas dan PKR iaitu Harakah dan Suara Keadilan. Tidak ketinggalan mengenai janji beliau untuk menilai semula penggunaan ISA di negara ini.

Soalnya sekarang adakah benar dan ikhlaskah Najib menunaikan perkara-perkara seperti disebut di atas? Pembebasan tahanan ISA semacam sudah sinonim bagi seorang PM yang baru mengambil alih dari PM sebelumnya.

Tun Hussein Onn umpamanya membebaskan tahanan ISA setelah beliau mengambil alih dari Tun Abdul Razak. Antara yang dibebaskan ketika itu ialah Dato' Seri Anwar Ibrahim yang ditahan sebelum itu berpunca dari tunjuk perasan di Baling, Kedah.

Namun tidak lama selepas itu, Tun Hussein meneruskan legasi zalim pemimpin sebelumnya. Beberapa individu kemudiannya ditahan di bawah ISA dan antara individu tersebut adalah Tokoh Kewartawanan Negara, Allahyarham Tan Sri Samad Ismail.

Begitu juga dengan mantan PM Tun Dr. Mahathir Mohamad. Beliau membebaskan tahanan ISA di awal permulaan kariernya sebagai PM. Antara nama yang dibebaskan termasuklah Tan Sri Samad Ismail sendiri. Namun rakyat tahu kemudiannya bagaimana Dr. Mahathir telah secara zalim menggunakan akta tersebut untuk menekan dan menindas golongan yang tidak sebulu dengan beliau.

Tun Abdullah Ahmad Badawi juga tidak ketinggalan dalam hal ini. Seingat saya, beliaulah satu-satunya pemimpin bertaraf PM yang sangat dialu-alukan perlantikan beliau sebagai PM. Di sana-sini namanya disebut, kononnya beliau ini mewakili wajah Islam dek kerana latar belakang keluarganya, beimej Mr. Clean dan macam-macam lagi.

Ketika itu lagi, beberapa tindakan telah diambil oleh Abdullah buat menunjukkan kredibilitinya kepada rakyat. Imejnya yang kuat menentang rasuah kemudiannya dibuktikan dengan penangkapan bekas Pengerusi Perwaja, Eric Chia dan bekas menteri kabinet, Tan Sri Kasitah Gadam. Waktu itu, seluruh rakyat melihat Abdullah sebagai mewakili kebenaran hakiki, satu kebenaran yang tidak pernah terserlah dalam mana-mana personaliti PM sebelum ini.

Namun akhirnya rakyat kecewa juga. Eric Chia kemudiannya dibebaskan dan disabitkan tidak bersalah. Kasitah Gadam pula tidak kedengaran kesnya di mana-mana mahkamah. Jelas sekali, Abdullah hanya bersandiwara dan rakyat tertipu lagi.

Tidak berbeza dengan mana-mana PM sebelumnya, Abdullah juga membebaskan sebahagian tahanan ISA tanda permulaan bersih pentadbirannya. Tapi lama-kelamaan ISA semacam sudah sebati dengan Abdullah sehingga acap kali digunakan terhadap individu-individu yang dituduh kononnya menjadi ancaman kepada negara.

Nama-nama seperti B.S.A. Tahir, Raja Petra, Teressa Kok, M. Manoharan, P. Uthayakumar dan puluhan yang lain adalah antara mangsa kekejaman ISA di bawah Abdullah. Sehingga wartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng turut dikenakan tahanan ISA kerana didakwa melaporkan berita yang didakwa boleh mewujudkan ketegangan kaum di negara ini.

Rentetan dari peristiwa-peristiwa di atas, saya secara peribadi menganggap tindakan Najib itu tidak membuktikan apa-apa pun. Bahkan beliau tidak ubah seperti pemimpin-pemimpin sebelumnya yang memperdayakan rakyat. Sebagaimana sumpah seranah pernah diucapkan kepada PM terdahulu, lebih teruk mungkin dihalakan kepada Najib.

Ini kerana rakyat kini lebih terdedah kepada persekitaran yang dilitupi pengetahuan dan informasi. Hal sekecil kuman juga boleh sampai kepada telinga rakyat. Tipu daya, kepura-puraan dan kezaliman sang penguasa hanya bakal mengundang gelak tawa rakyat yang sudah menyampah dengan retorik murahan seperti yang ditunjukkan Najib itu.

Wednesday, March 25, 2009

Umno Terus Mara....


Bersatu Kita Bersatu

Dengan Setia Berganding Bahu

Jiwa Teguh Berpadu

Kita Rumpun Melayu



Bersama Kita Bersama

Mendukung Hasrat Semua

Berjasa Pada Bangsa

Agama Dan Negara



Lambang Kita Yang Gagah

DiPandang Mulia Dan Indah

" BERSATU , BERSETIA , BERKHIDMAT "

Cogan Katanya

UMNO Terus Mara

Untuk Rakyat Malaysia


Wahai rakyat Malaysia sekalian, marilah kita bersedia menghadapi zaman kegelapan yang akan bermula April ini....Aku amat bimbang melihat situasi yang melanda negara kita yang bakal diterajui pemimping yang penuh dengan kontroversi...Sudah kelihatan bakat kuku besi beliau...Beliau akan menghantar kita kembali kepada zaman kegelapan...Jadi apabila 3 pilihan raya kecil yang bakal berlansung nanti aku harap para pengundi akan mengundi dengan minda bukan mengundi atas dasar sentimental...Negara perlukan perubahan...!!! Buktikan bahawa RAKYAT adalah raja....!!!

Sunday, March 8, 2009

Apa Yang Kita Inginkan..???

Oleh wan23,

Malaysia kini dilanda pelbagai isu besar yang mampu menggugat kestabilan negara.Dari PPSMI ke krisis 'demokrasi pokok' di Perak hinggalah ke 3 pilihan raya yang bakal kita hadapi pada bulan hadapan dan tidak lupa juga bakal PM kita yang semakin hari semakin banyak skandal yang melanda beliau.Belum lagipun jadi PM sudah pelbagai perkara kurang enak yang dapat kita dengari beginikah insan yang bakal memimpin kita???. Apa yang jelas adalah kesabaran rakyat semakin hari semakin tercabar angkara karenah 'politiking' ahli-ahli politik kita. Mereka kini begitu asyik berpolitik sehinggakan nasib rakyat tidak lagi menjadi keutamaan , perjuangan mereka tidak lagi seperti apa yang dijanjikan oleh mereka ketika sedang asyik bertanding dahulu. Janji-janji yang ditaburkan sehinggakan berbaldi-baldi tempias air liur ketika ceramah politik mereka kini hanya tinggal kenangan.

Jika senario sebegini terus berlaku, yang rugi adalah rakyat. Sudah tiba masanya rakyat sedar akan hakikat bahawa dalam sister demokrasi yang dipraktikkan di negara kita, RAKYAT adalah RAJA....bukan ahli politik, dan bukan RAJA...mereka sepatutnya takut kepada rakyat bukan sebaliknya seperti apa yang kita hadapi sekarang....kita tidak sepatutnya takut untuk bangun dan bersuara menyatakan pendapat kita...Aku sudah rimas dan jelak dengan permainan politik yang menjadikan rakyat sebagai mangsa yang terhimpit didalam konflik politik kita...ayuh wahai rakyat Malaysia mari kita bangkit dan perjuangkan hak-hak kita

Saturday, March 7, 2009

Mengenang 12 purnama yang lalu

Oleh Sang Kelembai Junior

Tanggal hari Sabtu bersamaan 8 Mac 2008 merupakan detik yang sangat-sangat bersejarah. Hari yang benar-benar mendatangkan kejutan maha besar kepada kedua-dua pihak, BN dan PR (dulu dikenali BA).

Terkejut BN berbeza dengan terkejut PR. Terkejut BN dek kerana pukulan kekalahan di lima negeri terkaya di Malaysia di samping kegagalan mempertahankan majoriti 2/3 kerusi di Parlimen.

Di peringkat Parlimen, prestasi BN tidaklah seburuk tahun 1969 bilamana BN cuma menang di 74 daripada 104 kerusi dipertandingkan. Pada tahun itu, kira-kira 51 peratus sahaja kerusi yang dimenangi BN dan itu keadaan yang sangat-sangat genting.

Manakala dalam PRU-12, BN menang di 140 kerusi daripada 222 yang dipertandingkan. Bermakna kira-kira 60 peratus kerusi menjadi milik mereka.

Namun berbeza di Parlimen, BN mempamerkan prestasi jauh lebih buruk daripada PRU 1969 di peringkat negeri. Jika tahun itersebut, BN cuma kehilangan Kedah dan Kelantan kepada Pas serta Pulau Pinang kepada Gerakan (sebelum menyertai BN), tapi PRU-12 menyaksikan pertambahan negeri jatuh ke tangan pembangkang iaitu Perak dan Selangor.

Ditambah pula dengan tewasnya ramai calon BN di Kuala Lumpur. Daripada 11, BN cuma menang satu kerusi melalui Menteri Wilayah Persekutuan, Dato' Seri Zulhasnan Rafique di Setiawangsa.

Bertitik-tolak dari keputusan PRU 8 Mac 2008 itu telah menyaksikan satira politik yang tidak berkesudahan hingga kini.

Kalau boleh disebutkan satu-persatu di sini seperti desakan perletakan jawatan PM Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi oleh ahli-ahli BN, penubuhan PR yang dilihat sebagai kerajaan alternatif terbaik menggantikan BN, kenaikan harga petrol di pasaran semasa serta kegagalan kerajaan menanganinya yang membangkitkan lagi kemarahan rakyat dan keluarnya parti komponen SAPP pimpinan Dato' Yong Teck Lee dari BN.

Tidak lupa juga dengan kemasukan kembali Ezam Mohd. Noor ke dalam Umno, kembalinya Dato' Seri Anwar Ibrahim ke Parlimen dengan kemenangan besar di Permatang Pauh sungguhpun dibelenggu tuduhan liwat, gagasan 16 September yang didendangkan oleh Anwar tidak kesampaian hingga kini dan berterusannya kemenangan PR di Kuala Terengganu yang menyaksikan BN kecundang dan merana kehilangan kerusi tersebut.

Namun peristiwa terbesar dan paling menggemparkan sudah pasti apa yang berlaku di Perak. Negeri yang mana majoriti rakyatnya memilih PR pada PRU-12 telah dirampas oleh BN secara tidak sah.

Hingga kini kemelut tesebut tidak langsung menampakkan tanda-tanda akan reda, apatah lagi berakhir. Perak yang dulunya pernah huru-hara disebabkan kewujudan dua Sultan dalam satu masa, kini dua MB pula dalam satu ketika.

Beberapa minggu lagi pula bakal menyaksikan Perhimpunan Agung Umno berlangsung. Agaknya kali ini merupakan perhimpunan termurung pernah dialami Umno terkesan dari PRU-12 lalu.

Dan kemudian, pada 7 April pertembungan PRK di dua Bukit, Bukit Gantang dan Bukit Selambau bakal sekali lagi menjadi medan ujian buat BN dan PR. Buat BN, kekalahan sekali lagi memberi isyarat bahawa peralihan kuasa di peringkat Pusat tidak membawa sebarang makna serta kejadian seperti di Perak tidak dapat diterima oleh rakyat terbanyak.

Buat PR pula, kemenangan sekali lagi menguatkan lagi hujah bahawa rakyat sudah benar-benar yakin bahawa PR adalah kerajaan alternatif terbaik untuk menggantikan BN. Ini juga membuktikan bahawa rakyat tetap bersama-sama PR sungguhpun pelbagai serangan dilakukan BN melalui media massa milik mereka.

Hari ini (8 Mac 2009) genap sudah setahun selepas peristiwa bersejarah tersebut. Setahun pertama telah kita sebagai rakyat Malaysia lalui dengan jayanya, sunggupun disulami suka dan duka. Bagaimana pula tempoh setahun yang kedua selepas ini, apa pula satiranya?