Tuesday, February 17, 2009

Nasib Anwar selepas Mac

Oleh Sang Kelembai Junior
Suasana kemelut politik Perak kian reda nampaknya. Sungguhpun belum kelihatan pengakhirannya, namun keadaannya jauh lebih tenang berbanding semasa awal-awal tercetusnya kemelut tersebut.
Tenang, kerana sudah tidak ada ataupun kurang rakyat khususnya para penyokong Pakatan Rakyat berhimpun, terutama di kediaman rasmi MB di Ipoh. Ini berbeza ketika mula-mula BN merampas kuasa bilamana seluruh kekuatan rakyat tertumpu di kediaman rasmi MB. Awok turut berpeluang merasai pengalaman berhimpun, bersorak dan berdemonstrasi yang dahulunya agak asing bagi awok.
Krisis di Perak sememangnya menggamit perhatian seluruh rakyat ke negeri tersebut. Tidak keterlaluan bila dikatakan setiap perbualan rakyat, sama ada di pejabat mahupun di warung-warung kopi semuanya berkisar mengenai Perak. Aduhai, glemer benor negeri awok weih..!
Namun tika semuanya berbicara mengenai Perak, ada satu perkara yang seakan-akan dilupakan. Perkara yang melibatkan satu watak yang penting dalam mencorakkan gerakan pembangkang di negara ini. Maksud dilupakan di sini bukanlah bermaksud tidak menghiraukan atau menyingkirkan watak ini. Tapi kurang analisis dilakukan membicarakan masa depan watak ini, adakah ke singgahsana Putrajaya ataupun ke tirai besi penjara?
Umum pasti dapat menduga bahawa watak yang dimaksudkan adalah Dato' Seri Anwar Ibrahim. Tidak perlu dijelaskan lagi karisma dan kredibiliti yang dimiliki oleh Ketua Umum PKR merangkap Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat ini. Di mana-mana beliau dihormati dan disanjungi, sama ada rakan mahupun lawan.
Awok menunggu-nunggu tulisan dari pihak pembangkang yang membicarakan mengenai masa depan Anwar ini. Tapi hampa, tidak ada satu pun yang keluar dengan analisis yang meyakinkan. Jika ada pun, kupasannya bersifat umum dan tidak tegas dalam menghurai bagi memberi penerangan kepada rakyat.
Sudah tersebar mengenai tuduhan liwat ke atas beliau yang dilaporkan oleh Saiful Bukhari Azlan. Siapa Saiful ini telah dijelaskan oleh Anwar. Sungguhpun media arus perdana acap kali melabelkan Saiful sebagai bekas pembantu peribadi beliau, namun hakikatnya Saiful hanya merupakan bekas pegawai sukarela pejabat beliau yang bekerja secara sukarela tanpa dibayar gaji.
Awok yakin media sedia maklum mengenai status sebenar Saiful di pejabat Anwar. Tapi demi untuk memaparkan kepada rakyat betapa "rapat dan akrabnya" Saiful dan Anwar, label "pembantu peribadi" dikekalkan. Ini tidak jauh beza dengan taktik yang digunakan dalam tuduhan liwat 1998 bilamana bekas pemandu peribadi Anwar, Azizan Abu Bakar digunakan bagi menjatuhkan karier politik beliau.
Hubungan yang sedia terjalin antara Saiful dengan PM-in-waiting Dato' Seri Najib Razak bukan lagi rahsia. Najib bebas untuk memilih untuk terus menafikan. Itu adalah haknya, tapi rakyat juga punya hak memilih untuk tidak mempercayai beliau. Ketersasulan Najib dalam menafikan sama ada beliau mengenali Saiful atau tidak dalam sidang media beberapa hari selepas wujudnya laporan polis terhadap Anwar menambahkan wasangka di kalangan rakyat.
Najib kini di ambang kemuncak kuasa. Sama ada rakyat suka atau benci, sama ada rakyat bersetuju atau menentang, Najib dalam kurang dua bulan lagi bakal mengangkat sumpah sebagai PM ke-6 Malaysia. Ini jika Tuhan mengizinkan. Najib tidak boleh tersangat yakin, rakyat tidak harus terlalu kecewa.
Tapi jika benar Najib bakal menghuni Seri Perdana seawal-awalnya akhir Mac ini dan selewat-lewatnya awal April, rakyat seharusnya menginsafi apa yang bakal berlaku selepas itu. Nasib Anwar tidak semestinya seindah hari ini di mana institusi kehakiman negara menunjukkan sedikit ketelusan dan kebebasan dari pengaruh kuasa politik.
Kes liwat beliau yang bermula Ogos tahun lalu dan kini acap kali tertunda seharusnya membimbangkan penyokong-penyokong beliau. Sungguhpun penundaan kes tersebut bagi memberi ruang semakan semula ke atas arahan pemindahan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi yang ditandatangani Peguam Negara, Gani Patail yang "disingkir" dari mengendalikan kes liwat terhadap Anwar, ia dilihat memakan masa terlalu lama.
Semakin lama masa diambil, semakin terbuka ruang buat konspirasi keparat-keparat politik untuk memerangkap Anwar. Ketelusan dan kebebasan badan kehakiman, sungguhpun terus dipertikaikan sehingga kini, harus diakui lebih baik di era Abdullah Badawi berbanding zaman Dr. Mahathir dahulu.
Tapi bagaimana di era Najib akan datang? Dengan imej Najib dilihat di belakang pertuduhan liwat oleh Saiful terhadap Anwar, tidak mustahil mahkamah boleh digunakan sebagai alat untuk menguburkan perjuangan dan pengaruh Anwar dari pentas politik negara. Di Malaysia, anda tidak perlu menjadi peguam untuk berhujah dan berdebat untuk meyakinkan hakim, cukup dengan menjadi PM. Anda boleh menentukan keputusan setiap kes yang dibicarakan.
Adakah hujah ini tiada sandarannya? Bagi yang memilih untuk berkata ada, tahniah awok ucapkan. Anda menanggapi realiti yang berlaku di sekeliling anda. Kita pasti tidak melupakan bagaimana bebasnya proksi Najib dalam kes Altantuya, Abdul Razak Baginda sungguhpun penglibatan beliau heboh diperkatakan di sana-sini. Pengakuan bersumpah Balasubramaniam turut diketepikan tanpa siasatan yang rapi dan telus.
Jadi tidak mustahil untuk jentera konspirasi yang membebaskan pesalah dari tuduhan untuk menghantar orang yang tidak bersalah pula ke penjara. Mereka pernah melakukannya pada 1998, tidak mustahil untuk mereka mengulanginya. Cuma kali ini, mereka pasti melakukannya dengan lebih ekstrem lagi. Anwar mahu dipastikan terkubur selama-lamanya.
Pembebasan Anwar pada September 2004 tidak terjangkakan oleh mereka bakal memusibahkan BN. Perkiraan mereka adalah bilamana Anwar telah terperingkuk enam tahun di penjara, pengaruhnya telah berkurangan dan pengharaman empat tahun dari kancah politik diharap terus menenggelamkan populariti Anwar. Tapi hal sebaliknya yang berlaku dan umum mengetahuinya BN pula porak-peranda dibuat Anwar.
BN khususnya Najib pasti berkira-kira dengan terhapusnya Anwar dari politik Malaysia, BN akan kembali muncul semula sebagai pilihan majoriti rakyat. Itu sifir Najib, tapi yang bakal menentukannya mutlak di tangan rakyat terbanyak.
Selepas semua di atas, awok ingin lontarkan persoalan. Bersediakan kita kehilangan Anwar sekali lagi?

No comments: