Monday, February 2, 2009

Drama terhebat dalam politik Perak

Oleh Sang Kelembai Junior

Terdahulu izinkan saya menggunakan kata ganti diri "awok" dalam membahasakan diri sendiri. "Awok" dalam loghat Perak membawa erti "saya". Kebiasaannya, dalam drama TV atau filem yang melibatkan loghat Perak, kata ganti diri "teman" yang juga membawa maksud yang sama digunakan. Secara peribadi saya lebih selesa dengan panggilan "awok" kerana nenek, bapa-bapa saudara, ayah dan ibu saya kesemuanya dari Perak dan mereka membahasakan diri mereka dengan "awok".

Awok lahir di Ipoh, membesar lapan tahun di Gerik sebelum berpindah semula ke Ipoh. Jatuh bangun, susah senang awok semua di sana. Disebabkan itu, sayang awok pada negeri awok tu tiada tolok bandingnya. Tak keterlaluan kalau awok katakan kalau boleh awok nak mati pun di Perak. Kalau ditanam di tempat lain pun, awok mahu tanah dari Perak juga tutup liang lahad awok.

Disebabkan itu juga, kemelut politik terbaru kerajaan negeri Perak baru-baru ini benar-benar buat awok gundah gulana. Macam-macam berita awok baca terutamanya melalui internet yang awok tak boleh berenggang dengannya. Laman web lidah rasmi Pas (harakahdaily.net) dan Anwar Ibrahim Club (anwaribrahimclub.com) sentiasa jadi tatapan awok untuk dapatkan berita terkini yang ditunggu-tunggu oleh bukan awok seorang.

Umum pasti mengetahui bahawa kemelut berpunca bilamana dua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perak, kedua-duanya dari PKR, menghilangkan diri. Awok tak bermaksud mahu mencoret semula apa yang telah diberitakan oleh media-media dalam tulisan ini. Sudah cukup liputan diberikan mengenai kemelut tersebut dan tak perlu awok ulanginya.

Cuma awok mahu ulas di sini mengenai dakwaan benarkah terdapatnya usaha memancing kedua-dua Adun tersebut, Jamaluddin Mat Razi dan Mohd Osman Jailu ke dalam BN. Orang yang mengetuai usaha tersebut pula bukan calang-calang orang. Bakal mengambil kepimpinan tertinggi parti terbesar dan kerajaan seawal-awalnya akhir Mac ini.

Kehilangan misteri mereka selama lima hari benar-benar menimbulkan persoalan. Mereka adalah anggota perkhidmatan awam. Mereka berkhidmat untuk kerajaan negeri. Mereka bukan punyai perniagaan sendiri yang boleh masuk atau keluar, mahu datang kerja atau tak, sewenang-wenangnya. Tapi yang paling melucukan awok bilamana Speaker Dun Perak, V. Sivakumar umumkan perletakan jawatan mereka, tiba-tiba kedua-dua muncul dengan kenyataan masing-masing. Tidak lagi bersembunyi seperti pengecut.

Bagi awok, kenyataan Jamaluddin bahawa beliau tidak menghilangkan diri dan hanya bercuti sakit amat mendangkalkan. Sungguh menghairankan bagi seorang yang berkhidmat di perkhidmatan awam untuk bercuti tanpa diketahui oleh ketuanya. Lebih mendangkalkan bilamana seorang Exco pergi bercuti tanpa memaklumkan kepada MB.



Akan tumbangkah kerajaan negeri Perak yang diterajui Dato' Seri Nizar?


Dan bagaimana jika mereka berhujah bahawa mereka tak maklum dengan usaha pencarian mereka? Mudah saja jawapannya, sungguh tak logik . Kerajaan negeri melalui MB Mohammad Nizar mengakui bahawa usaha menghubungi mereka telah dijalankan hari demi hari namun tetap gagal. Keluarga kedua-duanya yang bimbang turut sama gagal mengesan mereka. Jadi mereka tak boleh sewenang-wenangnya menggunakan hujah ini yang pasti akan menjerat diri mereka sendiri.

Khabar angin juga kuat mengatakan bahawa mereka bakal "berhijrah" (meminjam istilah Adun Bota Nasharuddin Hassan) ke BN dan usaha ke arah itu dikatakan dijalankan oleh TPM Najib Razak. Jamaluddin dan Osman menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut. Dalam kenyataan melalui pegawai khasnya, Jamaluddin menyatakan bahawa beliau masih menjalankan tugas Adun dan kerja-kerja parti.




Pemimpin penuh skandal tak berkesudahan


Daripada analisis peribadi awok, kedua-dua mereka tak perlu berdolak-dalih lagi. Kalau benar mahu berhijrah ke BN, nyatakannya seperti anak lelaki. Jangan jadi bacul dan hanya mengharapkan perlindungan dari orang-orang berkuasa saja. Pegawai khas Jamaluddin yang mewakilinya dalam sidang media yang diadakan di sebuah hotel dekat KLIA sendiri menyatakan bahawa beliau dalam perjalanan pulang dari Pahang ke Kuala Lumpur. Meminjam loghat Perak, "Ape ke hey nye deme buat di Pahang nun?". Ini pasti menimbulkan keraguan kerana khabar angin yang bertiup kencang menyatakan kehilangan mereka ada kaitan dengan pertemuan kedua-duanya dengan Najib di Pekan, Pahang.

Cukuplah sampai sini dulu analisis awok. Letih awok tulis panjang-panjang. Cuma awok harap politik Perak akan pulih seperti sedia-kala selepas ini. Awok sebagai rakyat jati Perak bersedia dengan sebarang kemungkinan. Kalau ada pilihan raya kecil di Behrang dan Changkat Jering, awok dah semestinya akan kuat menyokong calon Pakatan Rakyat. Kembalikan kestabilan kerajaan berkebajikan negeri Perak!

No comments: