Thursday, March 5, 2009

Bersinarkah Harapan Mac 2009?

Oleh Sang Kelembai Junior

Bulan Mac tahun ini sungguh amat signifikan buat seluruh rakyat Malaysia. Bukan kerana menyambut bulan kemerdekaan mahupun tarikh lahir pemimpin-pemimpin besar negara.

Tapi lebih dari itu, pada bulan ini, diramalkan akan berlakunya peralihan kuasa melibatkan pimpinan tertinggi negara. PM Dato' Seri Abdullah Badawi dijangka menyerahkan takhta 5 tahun 5 bulannya kepada Dato' Seri Najib Razak.

Dalam kalangan Umno khususnya melihat peralihan kuasa Abdullah-Najib bakal menyinarkan kembali harapan sokongan rakyat kepada mereka. Pentadbiran Abdullah yang didakwa lembik dan terlalui dikuasai oleh golongan tertentu (baca keluarga=Tingkat 4) dituduh menjadi punca kepada prestasi buruk BN dalam PRU lepas.

Benarkah harapan BN khususnya Umno yang menjadi tunjang kepada perikatan itu bakal dilanda transformasi sekiranya tampuk Presiden Umno dan PM berubah? Adakah akan melahirkan natijah kebaikan atau lebih buruk lagi dilanda badai berterusan?

Tatkala BN mempamerkan prestasi terburuknya dalam PRU-12 Mac tahun lalu, seluruh jari menuding ke arah Pengerusinya. Siapa lagi kalau bukan Abdullah. Sungguhpun Umno menang banyak kerusi Parlimen dan DUN, Abdullah tidak terlepas dari tanggungjawabnya sebagai bukan hanya Presiden Umno bahkan lebih dari itu sebagai Pengerusi BN.

Serangan bertubi-tubi tanpa henti datang dari segenap sudut. Luar dan dalam, tidak kira menjengah saban hari. Paling lantang sudah tentu mantan PM Tun Dr. Mahathir.

Tidak kurang dari itu, Dr. Mahathir menghamparkan peluru penaburnya terhadap Abdullah. Teorinya Abdullah harus berundur. Ini bagi memastikan Umno dan BN kembali kepada perjuangan asalnya. Selagi Abdullah berada dalam Umno dan BN, rakyat tidak akan yakin kepada parti itu sampai bila-bila.

Dan ini dipercayai oleh rakyat, khususnya dua golongan. Siapa dua golongan ini? Pertama, penyokong Dr. Mahathir. Penyokong Dr. Mahathir tidak semestinya ahli Umno.

Ramai di kalangan masyarakat yang saya temui secara peribadi mengakui menyokong Pakatan Rakyat tapi tetap menghormati Dr. Mahathir. Kata mereka, Dr. Mahathir telah berjasa besar dalam membangunkan pembangunan fizikal dan ekonomi negara.

Bagi golongan ini, perbandingan antara era Dr. Mahathir dengan zaman Abdullah akan dipertimbangkan. Ketegasan, kebijaksanaan dan keberanian Dr. Mahathir dalam membuat sesuatu keputusan membabitkan kepentingan negara akan dibandingkan dengan sikap terlalu berhati-hati, tersangat teliti dan terlalu lama untuk mengambil tindakan yang diamalkan Abdullah.

Mereka percaya sikap Abdullah ini adalah punca kepada kemerosotan sokongan terhadap BN. Maka pendapat Dr. Mahathir ini terpakai pada mereka.

Golongan kedua pula adalah ahli Umno itu sendiri. Perlu diingat juga di sini bahawa tidak semua ahli Umno menyokong Dr. Mahathir.

Tapi teori popular Dr.Mahathir ini sekurang-kurangnya mengisi kekosongan pemikiran mereka yang tercari-cari individu yang mahu dipersalahkan dari pukulan PRU lepas. Sungguhpun mereka agak kurang senang dengan kelantangan Dr. Mahathir dalam mengkritik Abdullah sebelum PRU-12 dulu, namun kritikan Dr. Mahathir dalam menyalahkan Abdullah diterima bulat-bulat oleh mereka.

Buktinya sebelum PRU-12, siapakah yang berani menentang Abdullah secara terang-terangan? Jawapannya tiada siapa. Semuanya merafak sembah "mana titah kami junjung, mana perintah kami sokong".

Tapi trend selepas PRU nyata berbeza besar. Abdullah tidak lagi dihormati malah kadang-kala kenyataanya sudah berani disanggah oleh individu-individu yang dikenali sebagai "orang beliau" sejak sekian lama.

Dato' Seri Dr. Rais Yatim sebagai contoh, adalah rakan karibnya bilamana bersama-sama dalam Team B tatkala pemilihan Umno 1987 dulu. Kedua-duanya menjunjung Tengku Razaleigh Hamzah untuk dinobatkan sebagai Presiden Umno seterusnya.

Sungguhpun Abdullah tidak ikut serta bersama Dr. Rais membentuk Semangat 46, penyingkiran Abdullah dari Kabinet oleh Dr. Mahathir tahun 1988 dulu memberi isyarat jelas bahawa beliau bukan tergolong dalam Team A yang menyokong Dr. Mahathir.

Namun apa yang berlaku hari ini sangat berlainan. Dr. Rais berani mengeluarkan kenyataan yang dilihat bercanggah dengan Abdullah. Lihat sahaja bilamana Dr. Mahathir mencadangkan bahawa "orang-orang" Abdullah seharusnya digugurkan daripada Kabinet Najib akan datang.

Reaksi balas Abdullah sungguh menampakkan kemarahan beliau. Dr. Mahathir dituduh sebagai berlagak dalam mencatur hala tuju Umno sedangkan beliau sendiri telah keluar dari parti itu. Kata Abdullah, Umno punya pemimpin yang boleh menentukan hala tujunya tanpa perlu mendapat nasihat dari seorang yang bukan ahli Umno.

Menteri-menteri yang dulunya hanya mampu tunduk dan berkata "yes sir" telah berubah wajah, temasuklah Dr. Rais. Dalam komennya terhadap reaksi balas Abdullah mengenai kenyataan Dr. Mahathir itu, beliau menyatakan bahawa Dr. Mahathir mempunyai locus standi untuk bersuara memberikan pendapatnya tentang Umno.

Ini sudah tentu mengejutkan Abdullah. Ditambah dengan tindakan orang kepercayaan beliau sekian lama, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempertikaikan tarikh peralihan kuasa Jun 2010 yang dianggap terlalu lama. Tindakan Muhyiddin itu dilihat mempercepatkan penghantaran Abdullah ke gerbang persaraan.

Bertitik-tolak dari teori Dr. Mahathir itu, Abdullah akur melepaskan kuasanya menjelang Mac ini. Angin perubahan mula dirasakan, kata ahli Umno. Persoalannya, benarkah begitu?

Lihat saja PRK Kuala Terengganu Januari lalu. Dalam ucapan pengenalan calon BN 20 Disember tahun lepas, Najib sebagai Pengarah Pilihan Raya BN petah menyebut, "Do or die". Membawa maksud BN mesti menang dan tidak boleh menerima kekalahan lagi. Mungkin bagi Najib, cukuplah keperitan di Permatang Pauh, tidak mahu lagi berulang.

Harapan diberikan dan gendang peralihan kuasa dimainkan BN. Kalau dulu BN kalah sebab Abdullah masih PM tapi kini Abdullah sudah umumkan bakal menyerahkan kuasa kepada Najib, maka rakyat telah pulang semula ke pangkuan BN. Itu mantera yang mereka imani.

Tapi rakyat sekali lagi menunjuk jalan keluar kepada BN. BN sebagai penyandang kerusi Kuala Terengganu merana kehilangan kerusi kawasan tersebut dengan majoriti yang besar. Margin kerusi Parlimen antara Pakatan Rakyat dan BN turut mengecil.

Maka setelah pelbagai ikhtiar dilaksanakan BN, masih berpeluangkah bagi mereka untuk terus hidup ketika majoriti rakyat semakin hari menunjukkan taring menolak mereka? Mantera "liwat" sudah digunakan di Permatang Pauh, "peralihan kuasa Abdullah-Najib" di Kuala Terengganu dan "derhaka" di Perak tapi rakyat dilihat tidak juga pulang ke pangkuan BN.

Jadi bernilaikah peralihan kuasa Mac ini? Atau sekadar syok sendiri pimpinan Umno dan BN dalam keadaan rakyat sudah muak dengan sandiwara wayang mereka. Tunggu saja PRK di dua Bukit, bakal memanifestasikan aspirasi dan suara rakyat untuk didengar oleh pimpinan negara.

No comments: