Saturday, April 4, 2009

Najib dan Reformasi?

Oleh Sang Kelembai Junior

Tanggal hari Jumaat 3 April satu lagi sejarah negara tercipta. Seorang lagi insan diangkat menjadi Perdana Menteri (PM) Malaysia menjadikan jumlah individu yang pernah menjawat kerusi tersebut sebanyak enam orang.

Insan yang dimaksudkan tidak lain dan tidak bukan adalah Dato' Seri Najib Razak. Sungguhpun peribadinya terselaput dengan segenap tuduhan, dari rasuah sehinggalah pembunuhan, masih lagi mampu menongkah arus dan menggapai kedudukan yang diidam-idamkannya sejak sekian lama itu.

Saya tidak bermaksud mahu menukilkan segala jerit-perih, ranjau berduri malah jatuh bangun Najib dalam arena politik. Gebangan media arus perdana sama ada elektronik mahupun media cetak tidak langsung meninggalkan ruang buat rakyat kerdil seperti saya untuk 'mengkisahkan' itu semua.

Cerita-cerita 'hebat' beliau semenjak menyertai politik pada tahun 1976, kemudiannya dilantik sebagai Menteri Besar (MB) Pahang dalam usia 29 tahun, seterusnya memimpin Pemuda Umno, menjadi Naib Presiden paling popular dan sehinggalah dilantik menjadi Timbalan PM didendangkan dalam media arus perdana bermula semalam (3 April).

Saya yakin perkara ini akan berterusan untuk beberapa lama. Paling kurang sehingga sebelum PRK Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai pada 7 April depan.

Cuma yang menarik perhatian saya khususnya dan pasti rakyat amnya, adalah berkisar mengenai agenda 'reform' yang ingin atau telah dilakukan Najib. Najib sendiri ketika berucap kali pertama sebagai Presiden Umno di perhimpunan agung parti itu baru-baru ini telah secara langsung menyebut perkataan 'reform' di hadapan ribuan perwakilan yang hadir ke perhimpunan tersebut.

Dan apa yang dilakukan Najib sejurus saja selepas mengangkat sumpah sebagai PM ke-6? Beliau membebaskan 13 tahanan ISA selain menarik balik larangan 3 bulan pengharaman lidah rasmi Pas dan PKR iaitu Harakah dan Suara Keadilan. Tidak ketinggalan mengenai janji beliau untuk menilai semula penggunaan ISA di negara ini.

Soalnya sekarang adakah benar dan ikhlaskah Najib menunaikan perkara-perkara seperti disebut di atas? Pembebasan tahanan ISA semacam sudah sinonim bagi seorang PM yang baru mengambil alih dari PM sebelumnya.

Tun Hussein Onn umpamanya membebaskan tahanan ISA setelah beliau mengambil alih dari Tun Abdul Razak. Antara yang dibebaskan ketika itu ialah Dato' Seri Anwar Ibrahim yang ditahan sebelum itu berpunca dari tunjuk perasan di Baling, Kedah.

Namun tidak lama selepas itu, Tun Hussein meneruskan legasi zalim pemimpin sebelumnya. Beberapa individu kemudiannya ditahan di bawah ISA dan antara individu tersebut adalah Tokoh Kewartawanan Negara, Allahyarham Tan Sri Samad Ismail.

Begitu juga dengan mantan PM Tun Dr. Mahathir Mohamad. Beliau membebaskan tahanan ISA di awal permulaan kariernya sebagai PM. Antara nama yang dibebaskan termasuklah Tan Sri Samad Ismail sendiri. Namun rakyat tahu kemudiannya bagaimana Dr. Mahathir telah secara zalim menggunakan akta tersebut untuk menekan dan menindas golongan yang tidak sebulu dengan beliau.

Tun Abdullah Ahmad Badawi juga tidak ketinggalan dalam hal ini. Seingat saya, beliaulah satu-satunya pemimpin bertaraf PM yang sangat dialu-alukan perlantikan beliau sebagai PM. Di sana-sini namanya disebut, kononnya beliau ini mewakili wajah Islam dek kerana latar belakang keluarganya, beimej Mr. Clean dan macam-macam lagi.

Ketika itu lagi, beberapa tindakan telah diambil oleh Abdullah buat menunjukkan kredibilitinya kepada rakyat. Imejnya yang kuat menentang rasuah kemudiannya dibuktikan dengan penangkapan bekas Pengerusi Perwaja, Eric Chia dan bekas menteri kabinet, Tan Sri Kasitah Gadam. Waktu itu, seluruh rakyat melihat Abdullah sebagai mewakili kebenaran hakiki, satu kebenaran yang tidak pernah terserlah dalam mana-mana personaliti PM sebelum ini.

Namun akhirnya rakyat kecewa juga. Eric Chia kemudiannya dibebaskan dan disabitkan tidak bersalah. Kasitah Gadam pula tidak kedengaran kesnya di mana-mana mahkamah. Jelas sekali, Abdullah hanya bersandiwara dan rakyat tertipu lagi.

Tidak berbeza dengan mana-mana PM sebelumnya, Abdullah juga membebaskan sebahagian tahanan ISA tanda permulaan bersih pentadbirannya. Tapi lama-kelamaan ISA semacam sudah sebati dengan Abdullah sehingga acap kali digunakan terhadap individu-individu yang dituduh kononnya menjadi ancaman kepada negara.

Nama-nama seperti B.S.A. Tahir, Raja Petra, Teressa Kok, M. Manoharan, P. Uthayakumar dan puluhan yang lain adalah antara mangsa kekejaman ISA di bawah Abdullah. Sehingga wartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng turut dikenakan tahanan ISA kerana didakwa melaporkan berita yang didakwa boleh mewujudkan ketegangan kaum di negara ini.

Rentetan dari peristiwa-peristiwa di atas, saya secara peribadi menganggap tindakan Najib itu tidak membuktikan apa-apa pun. Bahkan beliau tidak ubah seperti pemimpin-pemimpin sebelumnya yang memperdayakan rakyat. Sebagaimana sumpah seranah pernah diucapkan kepada PM terdahulu, lebih teruk mungkin dihalakan kepada Najib.

Ini kerana rakyat kini lebih terdedah kepada persekitaran yang dilitupi pengetahuan dan informasi. Hal sekecil kuman juga boleh sampai kepada telinga rakyat. Tipu daya, kepura-puraan dan kezaliman sang penguasa hanya bakal mengundang gelak tawa rakyat yang sudah menyampah dengan retorik murahan seperti yang ditunjukkan Najib itu.

No comments: