Thursday, February 12, 2009

Perak oh Perak

Oleh Wan23

Hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim baginda bersabda:
"Ditunjukkan kepadaku berbagai-bagai umat. Ada nabi yang hanya bersama seorang pengikut. Ada pula bersama dua pengikut. Ada yang bersama sekumpulan(kurang dari 10 orang). Ada pula nabi yang tiada seorang pun bersamanya..." Namun tidak ada nabi yang berubah prinsip kerana inginkan pengikut sekalipun terpaksa menghadapi suasana kontang. Lihat saja Nabi Nuh a.s"

Selepas membaca hadis di atas aku terus teringat kepada situasi di Perak. Bagaimana begitu mudah beberapa wakil rakyat menukar prinsip perjuangan hanya kerana inginkan kemewahan dunia. Sebagai seorang anak Perak, pergolakan politik yang terjadi amat memilukan dan mengundang pelbagai persoalan, tidak kurang juga dengan perasaan kecewa dan marah melihat amanat rakyat kepada wakil-wakil rakyat tersebut tidak lansung dihiraukan oleh mereka tatkala mereka bertindak mengkhianati rakyat.

Mungkin mereka ada sebab tersendiri untuk bertindak sedemikian, mungkin mereka benar-benar percaya dengan bertindak untuk menjadi wakil rakyat bebas dan memberikan sokongan kepada BN, rakyat akan lebih terbela nasibnya jika dibandingkan sekiranya mereka berkhidmat dibawah kerajaan PR. Mungkin juga mereka berbuat demikian atas nafsu yang inginkan kesenangan dunia yang melimpah ruah hinggakan 7 keturunan sekalipun tidak luak hartanya. Biar apa sekalipun alasan mereka , aku tidak kisah. Kerana aku tahu KEADILAN tidak akan mampu untuk disembunyikan buat selamanya, dan insyallah suatu hari nanti kita akan tahu sebab sebenar mereka.

Biarpun perit untuk ditelan, aku terima dengan keputusan mereka dan juga keputusan DYMM Sultan Perak yang mengarahkan Dato’ Seri Nizar serta seluruh anggota Exconya meletakkan jawatan dan melantik Menteri Besar yang baru dari BN. Aku percaya semua ini ada hikmahnya dan insyallah suatu hari nanti kita akan nampak hikmahnya. Mungkin juga dengan pemergian MP PAS Roslan Shaharom tuhan memberikan rakyat Perak peluang untuk membuktikan kepada seluruh rakyat Malaysia dipihak manakah sokongan mereka berada. Barangkali Pilihan Raya Kecil yang bakal berlansung inilah yang akan menjadi titik permulaan baru kepada rakyat Perak untuk mencetus kembali gelombang reformasi yang mampu mereformasikan sistem politik negara dan menghapuskan idealogi politik BN yang sudah lapuk dan juga untuk meng-"exorcise" hantu-hantu yang telah lama berkuasa.

Sesungguhnya kita sedang menghadapi dugaan hebat dan pada saat inilah kita perlu bersabar dan seluruh rakyat Perak dan juga warga Malaysia perlu bersatu dan sekiranya kita terus teguh berpegang dengan prinsip kita dan tidak mudah mengalah memperjuangkan perjuangan kita tidak mustahil kita akan berjaya suatu hari nanti.

Tuesday, February 10, 2009

Mengikut Perlembagaan, Nizar masih MB Perak yang sah

Oleh Sang Kelembai Junior

Perkara 16 (6) Undang-undang Perlembagaan Negeri Perak, ada menyebut "If the Menteri Besar ceases to command the confidence of the majority of the Legislative Assembly, then, unless at his request His Royal Highness dissolves the Legislative Assembly, he shall tender the resignation of the Executive Council".

Antara lain peruntukan ini membawa maksud bahawa perlucutan jawatan MB hanya boleh berlaku melalui tiga (3) perkara. Pertama (1), melalui pembubaran DUN, kedua(2) melalui undi tidak percaya dalam sidang DUN, dan ketiga (3) MB itu sendiri dengan rela hati meletakkan jawatan.

Jelas di sini, tidak ada satu pun peruntukan undang-undang di atas yang menyebabkan jawatan MB terlucut serta-merta berlaku. DYMM Sultan Perak telah menolak pembubaran DUN seperti yang dipohon oleh Dato' Seri Nizar. Jika pembubaran DUN berlaku, secara automatis jawatan MB dan Exco terlucut dan pilihan raya sekali lagi diadakan untuk memilih wakil rakyat yang baru sekaligus untuk membentuk kabinet negeri yang baru.

DUN Perak pula belum lagi bersidang. Jadi, belum ada lagi usul undi tidak percaya terhadap MB diadakan. Jika usul undi tidak percaya dibentangkan dan majoriti menentang kerajaan Pakatan Rakyat, hanya dengan itu MB Perak terlucut jawatannya. Sekarang, usul undi tersebut masih belum dibentang dan bererti kerajaan Pakatan Rakyat masih sah sebagai kerajaan negeri Perak.

Adalah menjadi hak DYMM Sultan Perak untuk menasihati Dato' Seri Nizar untuk meletak jawatan sebagai MB. Tapi adalah menjadi hak juga bagi Dato' Seri Nizar untuk tidak meletakkan jawatan dan mempertahankannya. Peruntukan Perlembagaan Negeri 16(6) secara jelas meletakkan "keistimewaan" kepada MB untuk sama ada meletak atau mengekalkan jawatan tanpa menurut kepada titah Sultan.

Di sini jelas bahawa kerajaan Pakatan Rakyat di Perak masih sah di sisi Perlembagaan dan undang-undang. Melainkan ketiga-tiga perkara tersebut dipenuhi, adalah merupakan satu kesalahan dan pembelakangan undang-undang bilamana perlantikan MB dan barisan Exco baru diperkenankan. Kemelut yang berterusan akan menyebabkan pertembungan antara pihak Istana dengan Perlembagaan dan undang-undang.

Saturday, February 7, 2009

Menjunjung titah Ke Bawah Duli

Oleh Sang Kelembai Junior


BN telah pun membentuk semula kerajaan negeri Perak. Adun Pangkor, Dato’ Zambry Abdul Kadir tepat jam 4 petang kelmarin (6 Februari) telah secara rasminya mengangkat sumpah sebagai MB ke-11.


Mungkin angka 10 tidak membawa tuah kepada bekas MB, Dato’ Seri Nizar Jamaluddin. Sebagai MB Perak ke-10, beliau hanya sempat memegang jawatan tersebut selama lebih kurang 10 bulan.



Dato" Dr. Zambry Abdul Kadir - Anak kelahiran Pulau Pangkor

Dalam tulisan terdahulu, awok telah menyatakan pendirian yang awok menerima hakikat bahawa kerajaan PR telah pun tumbang di negeri ini. Ini berdasarkan titah DYMM Sultan Perak yang mengarahkan Dato’ Seri Nizar serta seluruh anggota Exconya meletakkan jawatan.

Titah Tuanku wajib dijunjung. Baginda pasti punyai sebab dan hujah tersendiri hingga membawa kepada keputusan tersebut.

Cuma awok ingin menukilkan pandangan peribadi terhadap keputusan Sultan Perak tersebut. Sekadar analisis, hanya untuk menyatakan pendapat dan bukan niat untuk membantah, jauh sekali untuk menderhaka.

Tidak ada yang ralat mahupun salah bagi Tuanku untuk menolak pembubaran DUN Perak. Itu adalah hak mutlak baginda yang diperuntukkan oleh Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri dan tiada siapa berkuasa mempertikainya.

Namun melihat kepada kemelut politik Perak yang mula meruncing kira-kira 2 minggu lalu memerlukan pertimbangan sebijak-bijaknya dari baginda. Tuanku seharusnya menghalusi sedalam-dalamnya beberapa perkara.

Pertamanya, ialah dengan melihat kepada mood atau kecenderungan majoriti rakyat dewasa ini. Setiap manusia yang waras pasti mengakui bahawa kecenderungan rakyat kini adalah kepada PR dan bukan BN.

Apa yang dinamakan “tsunami politik” yang bermula 8 Mac tahun lalu tidak terhenti begitu saja dan berterusan hingga kini. PRK Permatang Pauh (26 Ogos) dan terbaru Kuala Terengganu (17 Januari) membuktikan hal ini.

Kedua-dua PRK ini dimenangi oleh PR bukan dengan majoriti yang kecil. Permatang Pauh, sebagai contoh, memperlihatkan peningkatan sokongan rakyat terhadap PR melalui pertambahan undi yang menghantar Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim ke Dewan Rakyat.

Di Kuala Terengganu pula, PR telah dengan jayanya menawan kerusi yang sebelumnya menjadi milik BN. Majoriti 2, 631 undi yang diperolehi calon Pas, Mohd. Abdul Wahid Endut menafikan keputusan pada PRU-12 lalu bilamana Pas tewas dengan majoriti sekitar 600 undi.

Jadi adalah tidak logik dan tidak masuk akal bilamana di saat PR mendapat sokongan padu dari majoriti rakyat, tiba-tiba BN dapat membentuk kerajaan baru. Itu pun melalui cara pintu belakang, mengharapkan sokongan dari Adun PR yang berpaling padah dan menyokong mereka.
Meminjam kata-kata seorang blogger, “Nasib tiga juta rakyat Perak tidak boleh ditentukan oleh tiga individu.” Merujuk kepada tiga bekas Adun PR yang mengisytiharkan sokongan kepada BN sungguhpun menjadi Adun Bebas iaitu Jamaluddin Mat Radzi (Behrang), Osman Jailu (Changkat Jering) dan Hee Yit Fong (Jelapang).

Mampukah suara rakyat diketepikan?

Keduanya, kerajaan BN yang terbentuk sekarang, secara persepsinya, dianggap tidak sah. Ini kerana penubuhannya melalui apa yang dinamakan sebagai rampasan kuasa. BN seolah-olah menidakkan suara rakyat yang telah memilih PR dalam PRU lalu.

Najib Razak sendiri ketika mengulas kekalahan BN di Kuala Terengganu Januari lalu menyatakan bahawa suara rakyat adalah suara keramat. Malangnya individu sama yang memungkirinya.

Dek sebab namanya pun rampasan kuasa, kerajaan BN di Perak sehingga sebelum PRU-13 nantinya akan dianggap sebagai kerajaan diktator. Mereka boleh memerintah dengan berpura-pura menyatakan bahawa mereka punyai jumlah yang cukup dalam DUN tapi mereka tidak boleh berpura-pura menyatakan mereka mendapat sokongan rakyat.

Dan ketiganya, DYMM Sultan Perak seharusnya menimbangkan persepsi umum mengenai keputusan dan titah yang diambil baginda. Sama ada adil atau tidak, sama ada berpihak atau berkecuali.

Dengan titah yang dikeluarkan memihak kepada kerajaan yang tidak mendapat mandat rakyat bahkan berkuasa melalui rampasan kuasa, tidak hairan jika mendapat reaksi negatif dari rakyat. Awok bimbang jika rakyat menuduh Tuanku sebagai berpihak kepada BN.

Sungguhpun hal ini jauh dari kebenaran bahkan lebih bersifat persepsi semata-mata, perlu diingati bahawa di dalam politik, persepsi adalah realiti. Imej berkecuali pihak Istana akan terjejas seterusnya akan menatijahkan pertembungan antara suara demokrasi dengan Istana.

Inilah antara perkara yang seharusnya mendapat pertimbangan sewajarnya dari Tuanku. Kebijaksanaan baginda ditagih dalam keadaan pihak Istana berkuasa menentukan tapi pada masa yang sama sentimen dan minda rakyat tidak diketepikan.

Namun segala-galanya sudah ditakdirkan. Titah telah dikeluarkan agar PR berundur. Perkenan sudah diberikan buat BN memerintah.
Buat PR, teguhkan perjuangan buat merampas semula Perak dalam PRU-13!
ALLAHUAKBAR!
REFORMASI!
MAKKAL SAKHTI!

Thursday, February 5, 2009

No to Bn

oleh wan23


Kami rakyat Perak tidak mahu BN.....

Kembalinya “Ketuanan UMNO” di Perak

Oleh Sang Kelembai Junior

Awok baru saja sampai ke Ipoh dari Ijok petang tadi. Pergolakan politik Perak, awok akui, antara sebab awok bergegas pulang ke Ipoh.

Tambahan pula kelas awok dibatalkan. Bonus untuk awok, cuti dua hari berturut-turut bermula hari ini (Khamis) dan esok dan membawa hingga ke cuti perayaan Thaipusam (Isnin).

Sesampai ke Ipoh niat awok yang pertama ialah menuju ke Istana Kinta. Tidaklah mahu menghadap Sultan kerana awok sedar diri awok ini siapa. Tidak punya apa-apa jawatan dalam mana-mana parti mahupun dalam kerajaan. Sekadar pelajar universiti “cabok” saja.

Awok sekadar mampu berlalu saja di depan Istana Kinta. Tepat seperti dugaan awok, pihak media setia menanti perkhabaran terbaru dari Istana. Cuma tidak kelihatan orang ramai, mungkin keadaan mendung seakan-akan mahu hujan menyumbang kepada keadaan sebegitu.


Istana Kinta jadi tumpuan


Melangkah awok ke rumah, sedihnya tidak terkata. Buka-buka saja berita TV1, dikhabarkan DYMM Sultan Perak menolak permohonan Pakatan Rakyat untuk membubarkan DUN.

Malah MB Dato’ Seri Nizar diminta melepaskan jawatannya dan sekiranya enggan berbuat demikian, jawatan tersebut dianggap kosong. Dilaporkan Dato’ Seri Nizar enggan berbuat demikian.

Melihatkan kepada perkembangan terbaru ini, secara peribadinya, awok anggap kerajaan PR telah pun tumbang di Perak. Kini pecahan kerusi-kerusi DUN Perak menjadi masing-masing 28 untuk BN dan PR manakala 3 Bebas.

3 Adun Bebas berikrar untuk menyokong BN. Dari hal itu, BN punyai mandat untuk mentadbir kerajaan baru Perak. BN melalui Pengerusinya, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi telah pun menamakan Adun Pangkor, Dato’ Zambry Abdul Kadir sebagai MB baru.



Sultan Azlan enggan beri perkenan



Perasaan awok bercampur-baur tika ini. Sedih bercampur gembira. Sedih dek kerana kerajaan berkebajikan PR Perak telah tumbang dan digantikan oleh kerajaan yang terkenal dengan ketamakan, rasuah dan penyelewangan kuasa.

Sedih awok mengenangkan nasib rakyat Perak selepas ini. Bagaimana agaknya nasib masyarakat Melayu, Cina dan India yang berasa terjamin dan lebih terbela di bawah PR selama 11 bulan sebelum ini?

Di sebalik itu, perasaan gembira mula menggapai benak sanubari awok. Hilangnya kekuasaan di Perak tidak bermaksud lumpuhnya kekuatan PR. Bahkan membawa sinar baru dalam masa depan PR.

Keluarnya pengkhianat-pengkhianat parti yang dibelenggu dengan tuduhan rasuah seharusnya melegakan PR. Individu yang bermasalah ini memang punyai tempat dalam UMNO dan BN, tapi tidak dalam PR. Biarlah rakyat menghukum mereka pada PRU akan datang.

Peristiwa di Perak seharusnya membawa PR menuju kecemerlangan masa depan yang lebih gemilang. Strategi untuk menawan sokongan rakyat Perak perlu digerakkan mulai sekarang.

PR tidak harus lupa bahawa dari segi mandat, PR masih mendapat sokongan majoriti pengundi Perak. Pada PRU-12, PR menang 31 kerusi manakala 28 untuk BN. Melihatkan kepada kematangan politik pengundi, tidak mustahil sokongan rakyat pada PR akan bertambah pada PRU depan.

Tidak keterlaluan jika awok katakan tidak perlu tunggu hingga PRU akan datang, ramai yang sudah dapat mencongak. Awok berani katakan PR akan berjaya merampas kembali negeri bertuah ini.

Jadi, keputusan yang paling bijak bagi PR sekarang ini ialah menjunjung titah DYMM Sultan Perak. Bahkan Dato’ Seri Nizar selepas menghadap Tuanku Sultan semalam berjanji akan menghormati sebarang keputusan yang diputuskan baginda.

Berundurnya PR tidak bererti mengaku kalah. Tapi membawa mesej bahawa PR akan datang sekali lagi dalam keadaan yang lebih kuat yang akan terus menguburkan BN bukan saja di Perak, bahkan di peringkat nasional.

Buat BN pula, tahniah diucapkan. Tidak awok sangka parti yang dulunya bercakap soal moral dan etika dalam menidakkan tindakan lompat parti, kini menjunjung tinggi amalan tersebut. Tapi awok tidak pelik bilamana melihatkan sejarah yang sama berlaku di Terengganu (1961) dan Sabah (1994) dulu.

Moral dan etika tiada makna bilamana tangan menggapai kuasa. Mulut terkunci, diam seribu bahasa tatkala kekayaan, kekenyangan dan kekuasaan di depan mata.

Wednesday, February 4, 2009

Syabas Barisan Nasional

Mari kita baca tulisan Tun yang di ambil dari blog beliau :

7. Presiden UMNO berkata UMNO sedia untuk menerima siapa sahaja untuk menjadi ahli. Ini memanglah dasar parti. Tetapi kedua-dua ahli yang ingin keluar dari PKR ini mempunyai masalah. Mereka dituduh terlibat dengan rasuah seks.

8. Apakah UMNO begitu terdesak sehingga tidak dapat tunggu keputusan mahkamah berkenaan tuduhan terhadap mereka sebelum menerima mereka? Jika diterima sekarang dan kemudian mereka didapati tidak bersalah maka Kerajaan pimpinan UMNO (lebih kurang) akan dituduh mempengaruhi mahkamah. Benar tidak benar bukan soalnya. Pada pandangan masyarakat tuduhan ini tetap akan dipercayai. Ia akan punyai kesan dalam PRU13. 

9. UMNO sudah dianggap bergelumang dengan rasuah, selalu mungkir janji, mengutamakan kroni Perdana Menteri di Terengganu. Jika kepada semua ini ditambah pula dengan penerimaan orang yang dituduh melakukan rasuah seks, imej UMNO akan jadi lebih buruk.

Apa yang sedang berlaku di Perak kini adalah bukti betapa keji dan hina BN..Namun begitu sebagai seorang yang memihak kepada PR saya ingin mengucapkan terima kasih kepada BN kerana dalam kerakusan mencari kemenangan, BN telah membantu PR untuk membuang insan-insan tidak bermaruah yang menjadi duri dalam daging kepada PR.

Monday, February 2, 2009

Drama terhebat dalam politik Perak

Oleh Sang Kelembai Junior

Terdahulu izinkan saya menggunakan kata ganti diri "awok" dalam membahasakan diri sendiri. "Awok" dalam loghat Perak membawa erti "saya". Kebiasaannya, dalam drama TV atau filem yang melibatkan loghat Perak, kata ganti diri "teman" yang juga membawa maksud yang sama digunakan. Secara peribadi saya lebih selesa dengan panggilan "awok" kerana nenek, bapa-bapa saudara, ayah dan ibu saya kesemuanya dari Perak dan mereka membahasakan diri mereka dengan "awok".

Awok lahir di Ipoh, membesar lapan tahun di Gerik sebelum berpindah semula ke Ipoh. Jatuh bangun, susah senang awok semua di sana. Disebabkan itu, sayang awok pada negeri awok tu tiada tolok bandingnya. Tak keterlaluan kalau awok katakan kalau boleh awok nak mati pun di Perak. Kalau ditanam di tempat lain pun, awok mahu tanah dari Perak juga tutup liang lahad awok.

Disebabkan itu juga, kemelut politik terbaru kerajaan negeri Perak baru-baru ini benar-benar buat awok gundah gulana. Macam-macam berita awok baca terutamanya melalui internet yang awok tak boleh berenggang dengannya. Laman web lidah rasmi Pas (harakahdaily.net) dan Anwar Ibrahim Club (anwaribrahimclub.com) sentiasa jadi tatapan awok untuk dapatkan berita terkini yang ditunggu-tunggu oleh bukan awok seorang.

Umum pasti mengetahui bahawa kemelut berpunca bilamana dua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perak, kedua-duanya dari PKR, menghilangkan diri. Awok tak bermaksud mahu mencoret semula apa yang telah diberitakan oleh media-media dalam tulisan ini. Sudah cukup liputan diberikan mengenai kemelut tersebut dan tak perlu awok ulanginya.

Cuma awok mahu ulas di sini mengenai dakwaan benarkah terdapatnya usaha memancing kedua-dua Adun tersebut, Jamaluddin Mat Razi dan Mohd Osman Jailu ke dalam BN. Orang yang mengetuai usaha tersebut pula bukan calang-calang orang. Bakal mengambil kepimpinan tertinggi parti terbesar dan kerajaan seawal-awalnya akhir Mac ini.

Kehilangan misteri mereka selama lima hari benar-benar menimbulkan persoalan. Mereka adalah anggota perkhidmatan awam. Mereka berkhidmat untuk kerajaan negeri. Mereka bukan punyai perniagaan sendiri yang boleh masuk atau keluar, mahu datang kerja atau tak, sewenang-wenangnya. Tapi yang paling melucukan awok bilamana Speaker Dun Perak, V. Sivakumar umumkan perletakan jawatan mereka, tiba-tiba kedua-dua muncul dengan kenyataan masing-masing. Tidak lagi bersembunyi seperti pengecut.

Bagi awok, kenyataan Jamaluddin bahawa beliau tidak menghilangkan diri dan hanya bercuti sakit amat mendangkalkan. Sungguh menghairankan bagi seorang yang berkhidmat di perkhidmatan awam untuk bercuti tanpa diketahui oleh ketuanya. Lebih mendangkalkan bilamana seorang Exco pergi bercuti tanpa memaklumkan kepada MB.



Akan tumbangkah kerajaan negeri Perak yang diterajui Dato' Seri Nizar?


Dan bagaimana jika mereka berhujah bahawa mereka tak maklum dengan usaha pencarian mereka? Mudah saja jawapannya, sungguh tak logik . Kerajaan negeri melalui MB Mohammad Nizar mengakui bahawa usaha menghubungi mereka telah dijalankan hari demi hari namun tetap gagal. Keluarga kedua-duanya yang bimbang turut sama gagal mengesan mereka. Jadi mereka tak boleh sewenang-wenangnya menggunakan hujah ini yang pasti akan menjerat diri mereka sendiri.

Khabar angin juga kuat mengatakan bahawa mereka bakal "berhijrah" (meminjam istilah Adun Bota Nasharuddin Hassan) ke BN dan usaha ke arah itu dikatakan dijalankan oleh TPM Najib Razak. Jamaluddin dan Osman menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut. Dalam kenyataan melalui pegawai khasnya, Jamaluddin menyatakan bahawa beliau masih menjalankan tugas Adun dan kerja-kerja parti.




Pemimpin penuh skandal tak berkesudahan


Daripada analisis peribadi awok, kedua-dua mereka tak perlu berdolak-dalih lagi. Kalau benar mahu berhijrah ke BN, nyatakannya seperti anak lelaki. Jangan jadi bacul dan hanya mengharapkan perlindungan dari orang-orang berkuasa saja. Pegawai khas Jamaluddin yang mewakilinya dalam sidang media yang diadakan di sebuah hotel dekat KLIA sendiri menyatakan bahawa beliau dalam perjalanan pulang dari Pahang ke Kuala Lumpur. Meminjam loghat Perak, "Ape ke hey nye deme buat di Pahang nun?". Ini pasti menimbulkan keraguan kerana khabar angin yang bertiup kencang menyatakan kehilangan mereka ada kaitan dengan pertemuan kedua-duanya dengan Najib di Pekan, Pahang.

Cukuplah sampai sini dulu analisis awok. Letih awok tulis panjang-panjang. Cuma awok harap politik Perak akan pulih seperti sedia-kala selepas ini. Awok sebagai rakyat jati Perak bersedia dengan sebarang kemungkinan. Kalau ada pilihan raya kecil di Behrang dan Changkat Jering, awok dah semestinya akan kuat menyokong calon Pakatan Rakyat. Kembalikan kestabilan kerajaan berkebajikan negeri Perak!