Oleh Sang Kelembai Junior
Perkara 16 (6) Undang-undang Perlembagaan Negeri Perak, ada menyebut "If the Menteri Besar ceases to command the confidence of the majority of the Legislative Assembly, then, unless at his request His Royal Highness dissolves the Legislative Assembly, he shall tender the resignation of the Executive Council".
Antara lain peruntukan ini membawa maksud bahawa perlucutan jawatan MB hanya boleh berlaku melalui tiga (3) perkara. Pertama (1), melalui pembubaran DUN, kedua(2) melalui undi tidak percaya dalam sidang DUN, dan ketiga (3) MB itu sendiri dengan rela hati meletakkan jawatan.
Jelas di sini, tidak ada satu pun peruntukan undang-undang di atas yang menyebabkan jawatan MB terlucut serta-merta berlaku. DYMM Sultan Perak telah menolak pembubaran DUN seperti yang dipohon oleh Dato' Seri Nizar. Jika pembubaran DUN berlaku, secara automatis jawatan MB dan Exco terlucut dan pilihan raya sekali lagi diadakan untuk memilih wakil rakyat yang baru sekaligus untuk membentuk kabinet negeri yang baru.
DUN Perak pula belum lagi bersidang. Jadi, belum ada lagi usul undi tidak percaya terhadap MB diadakan. Jika usul undi tidak percaya dibentangkan dan majoriti menentang kerajaan Pakatan Rakyat, hanya dengan itu MB Perak terlucut jawatannya. Sekarang, usul undi tersebut masih belum dibentang dan bererti kerajaan Pakatan Rakyat masih sah sebagai kerajaan negeri Perak.
Adalah menjadi hak DYMM Sultan Perak untuk menasihati Dato' Seri Nizar untuk meletak jawatan sebagai MB. Tapi adalah menjadi hak juga bagi Dato' Seri Nizar untuk tidak meletakkan jawatan dan mempertahankannya. Peruntukan Perlembagaan Negeri 16(6) secara jelas meletakkan "keistimewaan" kepada MB untuk sama ada meletak atau mengekalkan jawatan tanpa menurut kepada titah Sultan.
Di sini jelas bahawa kerajaan Pakatan Rakyat di Perak masih sah di sisi Perlembagaan dan undang-undang. Melainkan ketiga-tiga perkara tersebut dipenuhi, adalah merupakan satu kesalahan dan pembelakangan undang-undang bilamana perlantikan MB dan barisan Exco baru diperkenankan. Kemelut yang berterusan akan menyebabkan pertembungan antara pihak Istana dengan Perlembagaan dan undang-undang.
Not Exactly Like Riding a Bike
11 years ago
No comments:
Post a Comment