Thursday, February 5, 2009

Kembalinya “Ketuanan UMNO” di Perak

Oleh Sang Kelembai Junior

Awok baru saja sampai ke Ipoh dari Ijok petang tadi. Pergolakan politik Perak, awok akui, antara sebab awok bergegas pulang ke Ipoh.

Tambahan pula kelas awok dibatalkan. Bonus untuk awok, cuti dua hari berturut-turut bermula hari ini (Khamis) dan esok dan membawa hingga ke cuti perayaan Thaipusam (Isnin).

Sesampai ke Ipoh niat awok yang pertama ialah menuju ke Istana Kinta. Tidaklah mahu menghadap Sultan kerana awok sedar diri awok ini siapa. Tidak punya apa-apa jawatan dalam mana-mana parti mahupun dalam kerajaan. Sekadar pelajar universiti “cabok” saja.

Awok sekadar mampu berlalu saja di depan Istana Kinta. Tepat seperti dugaan awok, pihak media setia menanti perkhabaran terbaru dari Istana. Cuma tidak kelihatan orang ramai, mungkin keadaan mendung seakan-akan mahu hujan menyumbang kepada keadaan sebegitu.


Istana Kinta jadi tumpuan


Melangkah awok ke rumah, sedihnya tidak terkata. Buka-buka saja berita TV1, dikhabarkan DYMM Sultan Perak menolak permohonan Pakatan Rakyat untuk membubarkan DUN.

Malah MB Dato’ Seri Nizar diminta melepaskan jawatannya dan sekiranya enggan berbuat demikian, jawatan tersebut dianggap kosong. Dilaporkan Dato’ Seri Nizar enggan berbuat demikian.

Melihatkan kepada perkembangan terbaru ini, secara peribadinya, awok anggap kerajaan PR telah pun tumbang di Perak. Kini pecahan kerusi-kerusi DUN Perak menjadi masing-masing 28 untuk BN dan PR manakala 3 Bebas.

3 Adun Bebas berikrar untuk menyokong BN. Dari hal itu, BN punyai mandat untuk mentadbir kerajaan baru Perak. BN melalui Pengerusinya, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi telah pun menamakan Adun Pangkor, Dato’ Zambry Abdul Kadir sebagai MB baru.



Sultan Azlan enggan beri perkenan



Perasaan awok bercampur-baur tika ini. Sedih bercampur gembira. Sedih dek kerana kerajaan berkebajikan PR Perak telah tumbang dan digantikan oleh kerajaan yang terkenal dengan ketamakan, rasuah dan penyelewangan kuasa.

Sedih awok mengenangkan nasib rakyat Perak selepas ini. Bagaimana agaknya nasib masyarakat Melayu, Cina dan India yang berasa terjamin dan lebih terbela di bawah PR selama 11 bulan sebelum ini?

Di sebalik itu, perasaan gembira mula menggapai benak sanubari awok. Hilangnya kekuasaan di Perak tidak bermaksud lumpuhnya kekuatan PR. Bahkan membawa sinar baru dalam masa depan PR.

Keluarnya pengkhianat-pengkhianat parti yang dibelenggu dengan tuduhan rasuah seharusnya melegakan PR. Individu yang bermasalah ini memang punyai tempat dalam UMNO dan BN, tapi tidak dalam PR. Biarlah rakyat menghukum mereka pada PRU akan datang.

Peristiwa di Perak seharusnya membawa PR menuju kecemerlangan masa depan yang lebih gemilang. Strategi untuk menawan sokongan rakyat Perak perlu digerakkan mulai sekarang.

PR tidak harus lupa bahawa dari segi mandat, PR masih mendapat sokongan majoriti pengundi Perak. Pada PRU-12, PR menang 31 kerusi manakala 28 untuk BN. Melihatkan kepada kematangan politik pengundi, tidak mustahil sokongan rakyat pada PR akan bertambah pada PRU depan.

Tidak keterlaluan jika awok katakan tidak perlu tunggu hingga PRU akan datang, ramai yang sudah dapat mencongak. Awok berani katakan PR akan berjaya merampas kembali negeri bertuah ini.

Jadi, keputusan yang paling bijak bagi PR sekarang ini ialah menjunjung titah DYMM Sultan Perak. Bahkan Dato’ Seri Nizar selepas menghadap Tuanku Sultan semalam berjanji akan menghormati sebarang keputusan yang diputuskan baginda.

Berundurnya PR tidak bererti mengaku kalah. Tapi membawa mesej bahawa PR akan datang sekali lagi dalam keadaan yang lebih kuat yang akan terus menguburkan BN bukan saja di Perak, bahkan di peringkat nasional.

Buat BN pula, tahniah diucapkan. Tidak awok sangka parti yang dulunya bercakap soal moral dan etika dalam menidakkan tindakan lompat parti, kini menjunjung tinggi amalan tersebut. Tapi awok tidak pelik bilamana melihatkan sejarah yang sama berlaku di Terengganu (1961) dan Sabah (1994) dulu.

Moral dan etika tiada makna bilamana tangan menggapai kuasa. Mulut terkunci, diam seribu bahasa tatkala kekayaan, kekenyangan dan kekuasaan di depan mata.

No comments: