Showing posts with label politik. Show all posts
Showing posts with label politik. Show all posts

Thursday, February 26, 2009

Sokong mati-matian atau kutuk habis-habisan

Oleh Sang Kelembai Junior

Acap kali cenderung kepada seseorang mahupun kepada sesuatu golongan mendorong kita berlaku tidak adil terhadap seseorang atau segolongan yang lain. Mata serta hati jadi buta, yang salah jadi benar dan benar jadi salah. Salah dilakukan oleh golongan sendiri dipertahan mati-matian dan benar oleh golongan sebelah dipertikaikan habis-habisan.

Harus kita akui inilah yang berlaku dalam politik negara ini. Perkara ini bukan sahaja melibatkan golongan dalam PR malah turut berakar dalam BN sendiri. Yang berada dalam PR tidak ada lain yang dilakukan mereka kecuali merendah-rendah dan mempersenda projek yang dilakukan BN manakala yang berada dalam BN pula tidak habis-habis mengutuk program yang dilaksanakan PR.

Harus kita insafi bahawa tidak semua dilakukan BN itu salah dan tidak semua diimplementasi PR itu benar. Begitu juga terdapat situasi politik pada hari ini yang tidak semestinya memaparkan BN sebagai watak antogonis semata-mata. Sama halnya bilamana PR tidak semestinya berada dalam watak protagonis setiap masa.

Yang sering dipapar kepada kita ialah bilamana para penyokong PR dengan teganya dalam setiap ketika dan waktu, akan mempertahankan setiap tindakan dari parti mereka. Benar atau salah dalam hakikat yang sebenar tidak penting. Yang penting apa yang diucapkan oleh pemimpin mereka tidak ada yang benar melainkan benar sahaja.

Hal ini bukan saya cakap begitu sahaja tanpa sandaran fakta. Cuba kita toleh bilamana dikaitkan nama Altantuya dengan TPM Dato' Seri Najib. Hal ini ditimbulkan oleh PR khususnya ketika berlangsungnya PRK Ijok kira-kira dua tahun lalu. Atas bukti dan sandaran apa dikaitkan Altantuya dengan Najib?

Seingat saya, sehingga sekarang tiada bukti kukuh dikemukakan PR untuk mengesahkan dakwaan mereka itu. Yang ada hanyalah foto komposit dimana melibatkan Najib, Altantuya dan Razak Baginda. Sudah namanya pun foto komposit, kesahihannya dipertikai dan kewujudannya tidak membawa sebarang erti.

Bahkan ketika PRK Permatang Pauh Ogos tahun lalu, Najib sendiri telah bersumpah di Masjid Guar Perahu dekat Bukit Mertajam bagi menafikan tuduhan tersebut. Jadi yang lebih hampir kepada sikap adil ialah tidak ditimbulkan lagi kaitan antara beliau dengan Altantuya. Soal sama ada Najib bersumpah palsu atau benar, itu hal lain. Yang pasti Najib telah bersumpah dengan nama Allah menafikan segala tuduhan terhadap beliau, dan tindakan tersebut harus dihormati.

Tapi umum mengetahui bahawa sumpah Najib yang diharap dapat memadam episod bersiri Altantuya terhadap beliau nampaknya tidak mencapai sasaran. PR terus-menerus menggunakan nama Altantuya untuk menyerang peribadi beliau. Malang bertimpa bilamana para penyokong PR turut mempercayai dakwaan pemimpin mereka. Bukti tidak ada tidak mengapa asalkan semua penyokong berada di belakang, yang ragu-ragu bisa jadi benar. Tak apa, might is right!!

Sama halnya dengan penyokong-penyokong BN. Mereka yang diharap lebih matang dalam berpolitik dek kerana tangan mereka menggapai kuasa malangnya tidak ada bezanya dengan pendokong PR. Tidak keterlaluan kadang-kala tindakan mereka lebih teruk jika dibandingkan dengan penyokong PR.

Dalam isu kenaikan harga minyak Jun tahun lalu umpamanya, menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab mereka. Memang diakui bahawa masalah tersebut berpunca dari krisis harga minyak global, tapi tidak dapat disangkal juga bahawa terdapat kaedah yang boleh diimplimentasi bagi mengelakkan kenaikan harga yang membebankan rakyat itu.

Hal ini dibuktikan melalui kaedah yang diperjelaskan oleh Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam debat bersama Menteri Penerangan pada Julai tahun lalu. Jika kerajaan yang ada benar-benar optimis dalam membela nasib rakyat, seharusnya idea tersebut datang dari mereka dan bukan dari Anwar. Tapi yang berlaku adalah sebaliknya.

Lebih malang lagi bilamana kaedah diperjelas Anwar itu bukan sahaja tidak diambil iktibar oleh BN bahkan diperlecehkan. Anwar dituduh sengaja mencari kesempatan melalui kesempitan hidup rakyat demi mencapai cita-cita politik peribadi beliau. Tidak ada kesedaran dari BN sama ada untuk mengkaji sama ada relevan atau tidak kaedah yang dilontarkan Anwar itu, terus senyap sunyi dan rakyat menderita.

Bahkan serangan BN terhadap Anwar ini dipercayai bulat-bulat oleh para penyokongnya. Kaedah dilontarkan Anwar itu benar berniat membela nasib rakyat tapi dinafikan, hanya kerana berbeza fahaman politik. Mereka rela membiarkan rakyat terbanyak hidup menderita hanya untuk memenuhi kehendak politik sempit mereka.

Ini antara situasi yang berlaku di negara ini yang pada hemat saya, memperlihatkan ketidakmatangan rakyat kita dalam politik. Banyak lagi contoh boleh diberikan tapi saya kira cukuplah dua, satu dari BN dan satu lagi dari PR.

Niat saya dalam memaparkan isu ini ialah demi meningkatkan kematangan berpolitik di kalangan rakyat kita. Hormati aspirasi dan tindakan dari pihak lain sungguhpun kita tidak bersetuju dengan mereka. Mungkin apa yang diusahakan oleh pihak lain itu lebih baik dari apa yang ingin diusahakan oleh kita. Boleh jadi juga pihak yang kita hina sehari-hari itu lebih sempurna dari kita. Mungkin tidak sempurna dari maksud yang nisbi tapi lebih sempurna jika dibuat perbandingan dengan kita.

Akhir kalam, suka kiranya saya sertakan sepotong ayat dari al-Quran, moga-moga kita mengambil iktibar selari dengan apa yang telah diperkatakan di atas. Al-Maidah (5:8) mafhumnya, "Hai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum (bangsa) mendorong kamu untuk berlaku tidak adil, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui yang kamu kerjakan."

Selamat berubah dan bereformasi!!

Friday, February 13, 2009

Nizar derhaka?

Oleh Sang Kelembai Junior

Beberapa detik ini kecoh diperkatakan mengenai "penderhakaan" MB Perak, Dato' Seri Nizar terhadap DYMM Sultan Perak, Sultan Azlan Shah. Cemuhan dan tohmahan bertubi-tubi dihalakan kepada beliau menggambarkan bukan sahaja tidak menghormati baginda bahkan dituduh menderhaka pula.

Media arus perdana pula tidak henti-henti memainkan propaganda bagi membangkitkan perasaan benci rakyat kepada Dato' Seri Nizar khususnya dan PR amnya. Pelbagai kenyataan oleh pemimpin PR yang disiarkan pasti diputar-belit dan penjelasan yang diberikan selama satu jam cuma disiarkan tidak sampai lima minit.

Di sini awok ingin turunkan satu klip video yang baru awok layari dari youtube. Terima kasih khas buat malaysiakini atas kewujudan klip tersebut. Kenyataan oleh Dato' Seri Nizar dalam klip ini tidak akan didapati dari TV1 mahupun TV3. Jika ada pun, pasti sudah ditokok-tambah dan diseleweng sewenang-wenangnya.

Dalam klip video ini, kenyataan penuh beliau disiarkan. Para pengunjung dipersilakan meneliti kenyataan penuh tersebut supaya kita tidak dikaburi oleh laporan berat sebelah dan tidak bertanggungjawab pihak media arus perdana.

Secara peribadi, kagum awok pada Dato' Seri Nizar. Di saat tertekan begini, masih lagi mampu mengukir senyuman. Tidak kedengaran tekanan suaranya seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Begitulah resminya bagi orang-orang di pihak yang benar dan yakin dengan kebenarannya.

Thursday, February 5, 2009

No to Bn

oleh wan23


Kami rakyat Perak tidak mahu BN.....

Kembalinya “Ketuanan UMNO” di Perak

Oleh Sang Kelembai Junior

Awok baru saja sampai ke Ipoh dari Ijok petang tadi. Pergolakan politik Perak, awok akui, antara sebab awok bergegas pulang ke Ipoh.

Tambahan pula kelas awok dibatalkan. Bonus untuk awok, cuti dua hari berturut-turut bermula hari ini (Khamis) dan esok dan membawa hingga ke cuti perayaan Thaipusam (Isnin).

Sesampai ke Ipoh niat awok yang pertama ialah menuju ke Istana Kinta. Tidaklah mahu menghadap Sultan kerana awok sedar diri awok ini siapa. Tidak punya apa-apa jawatan dalam mana-mana parti mahupun dalam kerajaan. Sekadar pelajar universiti “cabok” saja.

Awok sekadar mampu berlalu saja di depan Istana Kinta. Tepat seperti dugaan awok, pihak media setia menanti perkhabaran terbaru dari Istana. Cuma tidak kelihatan orang ramai, mungkin keadaan mendung seakan-akan mahu hujan menyumbang kepada keadaan sebegitu.


Istana Kinta jadi tumpuan


Melangkah awok ke rumah, sedihnya tidak terkata. Buka-buka saja berita TV1, dikhabarkan DYMM Sultan Perak menolak permohonan Pakatan Rakyat untuk membubarkan DUN.

Malah MB Dato’ Seri Nizar diminta melepaskan jawatannya dan sekiranya enggan berbuat demikian, jawatan tersebut dianggap kosong. Dilaporkan Dato’ Seri Nizar enggan berbuat demikian.

Melihatkan kepada perkembangan terbaru ini, secara peribadinya, awok anggap kerajaan PR telah pun tumbang di Perak. Kini pecahan kerusi-kerusi DUN Perak menjadi masing-masing 28 untuk BN dan PR manakala 3 Bebas.

3 Adun Bebas berikrar untuk menyokong BN. Dari hal itu, BN punyai mandat untuk mentadbir kerajaan baru Perak. BN melalui Pengerusinya, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi telah pun menamakan Adun Pangkor, Dato’ Zambry Abdul Kadir sebagai MB baru.



Sultan Azlan enggan beri perkenan



Perasaan awok bercampur-baur tika ini. Sedih bercampur gembira. Sedih dek kerana kerajaan berkebajikan PR Perak telah tumbang dan digantikan oleh kerajaan yang terkenal dengan ketamakan, rasuah dan penyelewangan kuasa.

Sedih awok mengenangkan nasib rakyat Perak selepas ini. Bagaimana agaknya nasib masyarakat Melayu, Cina dan India yang berasa terjamin dan lebih terbela di bawah PR selama 11 bulan sebelum ini?

Di sebalik itu, perasaan gembira mula menggapai benak sanubari awok. Hilangnya kekuasaan di Perak tidak bermaksud lumpuhnya kekuatan PR. Bahkan membawa sinar baru dalam masa depan PR.

Keluarnya pengkhianat-pengkhianat parti yang dibelenggu dengan tuduhan rasuah seharusnya melegakan PR. Individu yang bermasalah ini memang punyai tempat dalam UMNO dan BN, tapi tidak dalam PR. Biarlah rakyat menghukum mereka pada PRU akan datang.

Peristiwa di Perak seharusnya membawa PR menuju kecemerlangan masa depan yang lebih gemilang. Strategi untuk menawan sokongan rakyat Perak perlu digerakkan mulai sekarang.

PR tidak harus lupa bahawa dari segi mandat, PR masih mendapat sokongan majoriti pengundi Perak. Pada PRU-12, PR menang 31 kerusi manakala 28 untuk BN. Melihatkan kepada kematangan politik pengundi, tidak mustahil sokongan rakyat pada PR akan bertambah pada PRU depan.

Tidak keterlaluan jika awok katakan tidak perlu tunggu hingga PRU akan datang, ramai yang sudah dapat mencongak. Awok berani katakan PR akan berjaya merampas kembali negeri bertuah ini.

Jadi, keputusan yang paling bijak bagi PR sekarang ini ialah menjunjung titah DYMM Sultan Perak. Bahkan Dato’ Seri Nizar selepas menghadap Tuanku Sultan semalam berjanji akan menghormati sebarang keputusan yang diputuskan baginda.

Berundurnya PR tidak bererti mengaku kalah. Tapi membawa mesej bahawa PR akan datang sekali lagi dalam keadaan yang lebih kuat yang akan terus menguburkan BN bukan saja di Perak, bahkan di peringkat nasional.

Buat BN pula, tahniah diucapkan. Tidak awok sangka parti yang dulunya bercakap soal moral dan etika dalam menidakkan tindakan lompat parti, kini menjunjung tinggi amalan tersebut. Tapi awok tidak pelik bilamana melihatkan sejarah yang sama berlaku di Terengganu (1961) dan Sabah (1994) dulu.

Moral dan etika tiada makna bilamana tangan menggapai kuasa. Mulut terkunci, diam seribu bahasa tatkala kekayaan, kekenyangan dan kekuasaan di depan mata.