Saturday, February 7, 2009

Menjunjung titah Ke Bawah Duli

Oleh Sang Kelembai Junior


BN telah pun membentuk semula kerajaan negeri Perak. Adun Pangkor, Dato’ Zambry Abdul Kadir tepat jam 4 petang kelmarin (6 Februari) telah secara rasminya mengangkat sumpah sebagai MB ke-11.


Mungkin angka 10 tidak membawa tuah kepada bekas MB, Dato’ Seri Nizar Jamaluddin. Sebagai MB Perak ke-10, beliau hanya sempat memegang jawatan tersebut selama lebih kurang 10 bulan.



Dato" Dr. Zambry Abdul Kadir - Anak kelahiran Pulau Pangkor

Dalam tulisan terdahulu, awok telah menyatakan pendirian yang awok menerima hakikat bahawa kerajaan PR telah pun tumbang di negeri ini. Ini berdasarkan titah DYMM Sultan Perak yang mengarahkan Dato’ Seri Nizar serta seluruh anggota Exconya meletakkan jawatan.

Titah Tuanku wajib dijunjung. Baginda pasti punyai sebab dan hujah tersendiri hingga membawa kepada keputusan tersebut.

Cuma awok ingin menukilkan pandangan peribadi terhadap keputusan Sultan Perak tersebut. Sekadar analisis, hanya untuk menyatakan pendapat dan bukan niat untuk membantah, jauh sekali untuk menderhaka.

Tidak ada yang ralat mahupun salah bagi Tuanku untuk menolak pembubaran DUN Perak. Itu adalah hak mutlak baginda yang diperuntukkan oleh Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri dan tiada siapa berkuasa mempertikainya.

Namun melihat kepada kemelut politik Perak yang mula meruncing kira-kira 2 minggu lalu memerlukan pertimbangan sebijak-bijaknya dari baginda. Tuanku seharusnya menghalusi sedalam-dalamnya beberapa perkara.

Pertamanya, ialah dengan melihat kepada mood atau kecenderungan majoriti rakyat dewasa ini. Setiap manusia yang waras pasti mengakui bahawa kecenderungan rakyat kini adalah kepada PR dan bukan BN.

Apa yang dinamakan “tsunami politik” yang bermula 8 Mac tahun lalu tidak terhenti begitu saja dan berterusan hingga kini. PRK Permatang Pauh (26 Ogos) dan terbaru Kuala Terengganu (17 Januari) membuktikan hal ini.

Kedua-dua PRK ini dimenangi oleh PR bukan dengan majoriti yang kecil. Permatang Pauh, sebagai contoh, memperlihatkan peningkatan sokongan rakyat terhadap PR melalui pertambahan undi yang menghantar Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim ke Dewan Rakyat.

Di Kuala Terengganu pula, PR telah dengan jayanya menawan kerusi yang sebelumnya menjadi milik BN. Majoriti 2, 631 undi yang diperolehi calon Pas, Mohd. Abdul Wahid Endut menafikan keputusan pada PRU-12 lalu bilamana Pas tewas dengan majoriti sekitar 600 undi.

Jadi adalah tidak logik dan tidak masuk akal bilamana di saat PR mendapat sokongan padu dari majoriti rakyat, tiba-tiba BN dapat membentuk kerajaan baru. Itu pun melalui cara pintu belakang, mengharapkan sokongan dari Adun PR yang berpaling padah dan menyokong mereka.
Meminjam kata-kata seorang blogger, “Nasib tiga juta rakyat Perak tidak boleh ditentukan oleh tiga individu.” Merujuk kepada tiga bekas Adun PR yang mengisytiharkan sokongan kepada BN sungguhpun menjadi Adun Bebas iaitu Jamaluddin Mat Radzi (Behrang), Osman Jailu (Changkat Jering) dan Hee Yit Fong (Jelapang).

Mampukah suara rakyat diketepikan?

Keduanya, kerajaan BN yang terbentuk sekarang, secara persepsinya, dianggap tidak sah. Ini kerana penubuhannya melalui apa yang dinamakan sebagai rampasan kuasa. BN seolah-olah menidakkan suara rakyat yang telah memilih PR dalam PRU lalu.

Najib Razak sendiri ketika mengulas kekalahan BN di Kuala Terengganu Januari lalu menyatakan bahawa suara rakyat adalah suara keramat. Malangnya individu sama yang memungkirinya.

Dek sebab namanya pun rampasan kuasa, kerajaan BN di Perak sehingga sebelum PRU-13 nantinya akan dianggap sebagai kerajaan diktator. Mereka boleh memerintah dengan berpura-pura menyatakan bahawa mereka punyai jumlah yang cukup dalam DUN tapi mereka tidak boleh berpura-pura menyatakan mereka mendapat sokongan rakyat.

Dan ketiganya, DYMM Sultan Perak seharusnya menimbangkan persepsi umum mengenai keputusan dan titah yang diambil baginda. Sama ada adil atau tidak, sama ada berpihak atau berkecuali.

Dengan titah yang dikeluarkan memihak kepada kerajaan yang tidak mendapat mandat rakyat bahkan berkuasa melalui rampasan kuasa, tidak hairan jika mendapat reaksi negatif dari rakyat. Awok bimbang jika rakyat menuduh Tuanku sebagai berpihak kepada BN.

Sungguhpun hal ini jauh dari kebenaran bahkan lebih bersifat persepsi semata-mata, perlu diingati bahawa di dalam politik, persepsi adalah realiti. Imej berkecuali pihak Istana akan terjejas seterusnya akan menatijahkan pertembungan antara suara demokrasi dengan Istana.

Inilah antara perkara yang seharusnya mendapat pertimbangan sewajarnya dari Tuanku. Kebijaksanaan baginda ditagih dalam keadaan pihak Istana berkuasa menentukan tapi pada masa yang sama sentimen dan minda rakyat tidak diketepikan.

Namun segala-galanya sudah ditakdirkan. Titah telah dikeluarkan agar PR berundur. Perkenan sudah diberikan buat BN memerintah.
Buat PR, teguhkan perjuangan buat merampas semula Perak dalam PRU-13!
ALLAHUAKBAR!
REFORMASI!
MAKKAL SAKHTI!

No comments: