Thursday, December 11, 2008

Ready, get set and…..what?

Oleh Sang Kelembai Junior

Tak sampai empat bulan buat Datuk Seri Abdullah Badawi sebelum melepaskan jawatannya sebagai Presiden UMNO. Selepas berakhirnya Perhimpunan Agung UMNO yang berlangsung dari 24-28 Mac depan, Abdullah hanya akan dikenali sebagai ahli UMNO biasa. Sebagaimana Abdullah meniti ke puncak kuasa tanpa diduga, begitu juga dengan persaraannya.

Tak siapa menduga Abdullah akan mewarisi kepimpinan Dr. Mahathir selepas tersingkirnya Anwar secara tak hormat dari UMNO dan kerajaan. Umumnya, Abdullah ketika itu bukanlah berada dalam wilayah pewarisan takhta. Ramai kalangan menduga selepas Anwar adalah Najib. Bagi Abdullah, kedudukannya sebagai Naib Presiden yang mendapat majoriti kedua terbanyak selepas Najib membuatkannya tak pernah mengimpikan sampai ke puncak kekuasaan.

Tapi, itulah dikatakan nasib. Manusia mampu merancang, namun akhirnya perencanaan Allah jua diterjemahkan. Dengan meninggalkan Najib, Dr. Mahathir melantik Abdullah sebagai timbalannya. Kini, individu yang bertanggungjawab melantik Abdullah ke kerusi PM, orang itu jugalah yang menunjukkan jalan keluar kepada Abdullah. Benarlah kata pepatah “Tangan yang membina bisa juga menghancurkan”.

Kita tinggalkan dulu mengenai persaraan Abdullah. Realitinya, Abdullah masih lagi menghuni Seri Perdana dan masih kekal mengetuai Kabinet. Suara Abdullah juga masih berkuasa di Dewan Rakyat. Semalam (10 Disember) Abdullah membentangkan dua rang undang-undang mengenai rasuah dan sistem kehakiman negara. Di dalam rang undang-undang itu, terdapat cadangan penubuhan dua buah suruhanjaya, iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah dan Suruhanjaya Perlantikan Hakim.

Kali terakhir rang undang-undang Pencegahan Rasuah dibentangkan di Dewan Rakyat adalah pada tahun 1997 bilamana Anwar memangku jawatan PM. Ketika itu, pindaan dari akta sebelumnya itu antara lain, membenarkan tindakan undang-undang diambil terhadap individu yang telah bersara dari jawatannya dalam mana-mana sektor perkhidmatan sekiranya mereka terbukti terbabit dengan rasuah. Ini bermakna jika sesuatu individu yang telah meninggalkan jawatannya, sebagai contoh, selama lima tahun, tetap boleh diambil tindakan mahkamah sekiranya bukti mencukupi.

Gendang penubuhan Suruhanjaya Perlantikan Hakim pula telah lama berbunyi. Bulan April lepas, serentak dengan perisytiharan Abdullah tentang pemberian ex-gratia kepada hakim-hakim yang terlibat dalam krisis badan kehakiman 1988, Abdullah turut mengumumkan cadangan kerajaan untuk menubuhkan suruhanjaya ini.

Malangnya, hanya selepas hampir lapan bulan berlalu, barulah hal ini menjadi kenyataan. Itu pun baru di peringkat pembacaan rang undang-undang. Perlu tunggu pula untuk perbahasan di Dewan Rakyat dan diluluskan sebelum dibawa ke Dewan Negara untuk pembentangan, diperincikan, dan seterusnya diluluskan. Barulah rang undang-undang ini akan menjadi undang-undang yang boleh diimplimentasikan di negara ini.

Saya berpendapat, dua suruhanjaya ini seharusnya ditubuhkannya ketika mula-mula Abdullah bertampuk di kerusi PM lagi. Tak perlu tunggu selepas lima tahun baru nak tunjuk pada rakyat yang kerajaan serius membanteras rasuah dan memperjuangkan sistem kehakiman yang bebas. Umum mengetahui bahawa dua isu ini, rasuah dan kebobrokan badan kehakiman negara, telah lama berada di tahap paling kritikal. Adalah lebih bijak bagi Abdullah jika beliau menanganinya terlebih awal dan bukan di saat tergesa-gesa sebelum persaraannya.

Tapi apa boleh buat? Masa tak akan berputar ke belakang. Apa yang harus kita lakukan ialah dengan memandang ke hadapan yang menjanjikan cabaran yang lebih menjerihkan. Saya mengharapkan dua suruhanjaya legasi Abdullah ini dapat memainkan peranannya secara telus, bebas, dan berintegriti tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak, khususnya pihak pemerintah. Penubuhannya seharusnya memberi kelegaan serta harapan kepada rakyat untuk melihat sistem pentadbiran yang tidak korup dan menegakkan negara hukum. Kepada Najib, diharap kedua-dua suruhanjaya ini tak terkubur bersama karier politik Abdullah Mac depan.

No comments: