Saturday, December 13, 2008

Percaturan politik Abdullah yang serba tak menjadi

Oleh Sang Kelembai Junior

Dewasa ini, acap kali perbincangan tentang Datuk Seri Abdullah Badawi disertai dengan komen negatif. Berbeza dengan permulaan penampilannya sebagai PM lima tahun lalu yang sering disanjung dan dipuja, Abdullah hari ini tak ubah seperti “melukut di tepi gantang”.

Bila Abdullah tak bersuara tak terasa kehilangan apa-apa, bila Abdullah bersuara tak siapa pula mahu mendengarnya. Nyata, ahli UMNO lebih berminat mencongak masa depan mereka di bawah Najib yang bakal diisytiharkan sebagai Presiden pada Perhimpunan Agung Mac depan.

Keputusan tak terjangka dalam PRU12 lepas dijadikan alasan untuk majoriti ahli UMNO merejam batu hukuman ke atas Abdullah. Pelbagai kritikan dan hentaman ditujukan kepadanya. Tidak ketinggalan mengambil tempat adalah Dr. Mahathir.

Kesempatan terbaik untuk menyahkan terus Abdullah digunakannya semahu-mahunya. Macam-macam cerita dicanang Mahathir, termasuk tentang kekesalan yang membawa kepada permohonan maafnya kerana dianggap tersilap melantik Abdullah ke jawatan PM.

Tak cukup dengan itu, kelantangan suara dari dalam UMNO juga kedengaran. Naib Presiden UMNO, Muhyiddin Yassin bersuara dengan keras, menuntut supaya tempoh peralihan kuasa Jun 2010 dikaji semula.

Sungguhpun selepas itu Abdullah membentak Muhyiddin atas sikapnya itu, nyata Abdullah terlalu lembik untuk mempertahankan kerusi kekuasaannya. Pada 9 Oktober lepas, Abdullah mengumumkan untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden UMNO pada pemilihan depan.

Secara automatiknya, ia satu mesej mengenai persaraannya sebagai Presiden dan PM selepas Mac 2009. Simpati saya pada Abdullah. Percaturan politiknya untuk terjun ke gelanggang PRU12 terlalu cepat hanya memakan diri.

Umum mengetahui, Abdullah dan Kabinetnya punya waktu yang panjang lagi untuk diadakan PRU12. Mandat yang diberikan rakyat pada PRU11 lalu hanya akan tamat pada April 2009.

Tapi nyata Abdullah memilih jalan sukar, mengadakan pilihanraya di kala mandat partinya baru berjalan tiga tahun 11 bulan. Akibatnya, pil pahit yang harus ditelan Abdullah.

Hasratnya yang utama dengan berbuat demikian adalah untuk menghalang kemunculan semula Anwar Ibrahim ke Dewan Rakyat. Tempoh larangan politik Anwar yang hanya berakhir pada April membuatkan Anwar hilang kelayakan untuk sama-sama menyertai PRU tersebut.

Tapi semua itu sudah tak berguna. Sungguhpun Anwar tidak turut menjadi calon dalam PRU12 itu, pembangkang masih mampu menang 82 kerusi di samping merampas pentadbiran lima buah negeri, termasuk di kalangan negeri-negeri seperti Selangor dan Perak yang dulunya dianggap mustahil untuk jatuh ke tangan pembangkang.

Tewasnya BN di lima negeri yang menyumbang hampir 60 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dan kegagalan mempertahankan 2/3 majoriti di Dewan Rakyat telah sekaligus membuka pintu kepada pengakhiran karier politik Abdullah.

Anwar pula kembali ke Dewan Rakyat dengan kemenangan yang lebih meyakinkan berbanding kejayaan yang diperoleh isterinya dalam PRU12 lepas. Nyata, kemaraan Anwar tak dapat disekat sungguhpun habis ikhtiar digunakan Abdullah.

Apa lagi yang mampu dilakukan Abdullah kini? Majoriti ahli UMNO sudah tak menghiraukannya lagi. Mereka kini lebih selesa berpaut pada Najib.

Seksanya menjadi Abdullah, menghitung hari-hari terakhir sebagai Presiden UMNO dan PM Malaysia.

No comments: