KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2008 yang dibacakan buat kali kedua di Dewan Rakyat hari ini akan menambah baik dan memperluas autonomi universiti.
Perkara itu akan dilaksanakan dengan memindahkan beberapa kuasa Yang di-Pertuan Agong dan menteri kepada pihak berkuasa universiti yang antara lainnya terdiri daripada Lembaga Pengarah Universiti (LPU), Senat dan Naib Canselor.
"Melalui rang undang-undang ini, kuasa untuk menubuhkan fakulti dan jabatan yang dahulunya berada di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong diberikan kepada Senat.
"Pindaan ini adalah selaras dengan fungsi Senat sebagai badan utama akademik di universiti," kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau berkata, rang undang-undang itu juga amat menitikberatkan keterbukaan, ketelusan dan akauntabiliti dalaman serta luaran pentadbiran sesebuah universiti.
"Justeru, suatu jawatankuasa pengurusan universiti yang bertujuan untuk menasihati Naib Canselor dalam perkara pentadbiran dan pengurusan universiti akan ditubuhkan," katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohamed Khaled berkata, rang undang-undang itu akan membenarkan pelajar untuk bersekutu dengan atau menjadi anggota sesuatu pertubuhan, persatuan atau organisasi sama ada dalam atau luar negara.
"Bagaimanapun, pelajar adalah dilarang untuk terlibat dengan parti politik sama ada dalam negara atau luar negara, pertubuhan menyalahi undang-undang dan tidak sesuai demi kepentingan pelajar dan universiti.
"Meskipun, terdapat larangan ke atas pelajar untuk berpolitik, rang undang-undang ini masih memberikan sedikit pengecualian. Kuasa untuk memberi pengecualian ini akan dilaksanakan oleh Naib Canselor," katanya.
Selain itu, katanya rang undang-undang itu akan turut memberi canselor kuasa untuk melucutkan ijazah daripada mana-mana siswazah atas sebab melakukan perbuatan skandal.
"Sebelum dilucutkan, siswazah berkenaan hendaklah diberi hak untuk didengar," katanya.
Mohamed Khaled turut menegaskan bahawa AUKU tidak terpakai ke atas Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS).
Katanya, UIAM dikecualikan daripada pemakaian AUKU kerana ia ditubuhkan di bawah triti antara kerajaan dengan negara-negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).
"Dalam hal ini, tadbir urus UIAM adalah berdasarkan kepada perlembagaannya sendiri yang bersumberkan kepada Akta Syarikat 1965 (Akta 125)," katanya.
Mohamed Khaled berkata, UiTM pula ditubuhkan di bawah aktanya sendiri iaitu Akta Universiti Teknologi Mara 1976 (Akta 173).
"Bagaimanapun, dalam hal berkaitan disiplin dan tatatertib pelajar, UiTM adalah tertakluk kepada Akta Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 (Akta 174).
"Kebanyakan peruntukan dalam akta berkenaan adalah hampir sama dengan peruntukan di bawah AUKU," katanya.
Beliau berkata, IPTS pula tertakluk kepada Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555) yang mengandungi peruntukan mengenai penubuhan, pendaftaran, pengurusan dan pengawalseliaan serta kawalan kualiti pendidikan yang disediakan oleh IPTS di negara ini," katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohamed Khaled berkata, rang undang-undang yang dicadangkan itu juga akan memberi kebebasan kepada pelajar bersuara dalam hal berkaitan akademik.
"Pelajar dibenarkan untuk memberi pendapat dalam seminar dan simposium dengan syarat, majlis berkenaan tidak dianjurkan atau diberi peruntukan kewangan oleh parti politik, pertubuhan yang menyalahi undang-undang serta pertubuhan, badan atau kumpulan yang dikenalpasti oleh menteri sebagai tidak sesuai demi kepentingan pelajar atau universiti," katanya.
Selain itu, katanya rang undang-undang itu juga akan membenarkan menteri untuk menubuhkan kampus cawangan bagi sesebuah universiti di luar negara.
"Ini akan dapat memastikan dasar pengantarabangsaan pendidikan tinggi negara dapat dilaksanakan," katanya. BERNAMA
Text taken from the star online.
No comments:
Post a Comment