Tuesday, December 2, 2008

PM Malaysia Tidak Semestinya Datang Dari UMNO

Oleh Sang Kelembai Junior

Secara peribadi, saya berasakan melayari dan membaca tulisan di dalam blog mantan PM Tun Dr. Mahathir Mohamad amat menyeronokkan. Tulisannya yang jujur terhasil dari pemikirannya yang tajam sentiasa membibitkan rasa kagum di hati saya. Ditambah dengan sikap sinisnya dalam menempelak sesuatu individu atau dasar sering menggamit perhatian pelayar-pelayar blog itu.

Tulisannya yang terbaru bertajuk "Mac 2009" sungguh menarik untuk diteliti. Menarik, bukan kerana ia membicarakan tentang peralihan kuasa yang dikatakan akan berlaku antara Abdullah dan Najib, tetapi dalam tulisan itu Tun telah sekali lagi mengulangi kenyataannya, secara tak langsung, mengenai jawatan PM yang boleh dipilih dari kalangan bukan Melayu.

Dalam satu perenggan tulisannya, Tun menyebut bahawa pemilihan Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN sebagai PM selama puluhan tahun sejak merdeka adalah atas dasar tradisi sahaja, atas semangat muafakat dan kepercayaan bangsa lain terhadap orang Melayu. Tapi tegas beliau, selain dari Presiden UMNO dan Pengerusi BN, jika diberi kepercayaan dan mendapat sokongan majoriti, mereka juga boleh menduduki kerusi yang diidam-idamkan semua itu. Maknanya, di kalangan parti-parti komponen BN seperti MCA, MIC, Gerakan, PPP serta parti-parti dari Sabah dan Sarawak juga ada peluang pemimpinnya untuk jadi PM.

Beliau kemudiannya melampirkan beberapa contoh dari pihak pembangkang. Contohnya, jawatan MB Kelantan itu dipegang oleh Datuk Nik Aziz sungguhpun Presiden Pasnya ialah Datuk Seri Hadi Awang. Tak ketinggalan di Pulau Pinang dimana Lim Guan Eng sebagai Ketua Menteri walaupun umum mengetahui Lim Kit Siang adalah Penasihat DAP, seorang pemimpin de facto DAP yang sangat berpengaruh.

Apa sebenarnya mesej Tun dari tulisan ini? Secara peribadi, saya melihat ianya sebagai satu kesinambungan dari kenyataan Tun baru-baru ini, iaitu orang bukan Melayu boleh dilantik jadi PM. Tun dikenali sebagai pemimpin berpandangan jauh dan tajam penglihatan serta pemikirannya. Pilihanraya 8 Mac jelas menunjukkan pertambahan kerusi dari DAP dan calon-calon PKR di kalangan bukan Melayu.

Tun mungkin melihat suatu hari nanti kemungkinan untuk dilantik seorang bukan Melayu sebagai PM akan benar-benar terjadi. Sudah pastinya bukan dari BN, kerana UMNO pasti takkan membiarkan "ketuanan" mereka sejak kemerdekaan itu terlepas ke pihak lain. Tapi tidak mustahil datang dari pembangkang. Bagi saya, Tun mahu mengajar rakyat Malaysia bagaimana harusnya kita bereaksi jika dibentangkan permasalahan seperti ini di masa hadapan. Secara emosional atau rasional?

Hari ini pembangkang dikenali sebagai Pakatan Rakyat (PR). Anwar, seorang Melayu menjadi kepalanya. Tapi kepala PR itu boleh dipilih dari tiga parti yang membuat pakatan longgar itu. Mungkin perkara ini takkan terjadi sekarang, kerana karisma kepimpinan Anwar yang sangat berkesan dan dilihat faktor yang menyatu-padukan parti-parti pembangkang.Tapi, di masa depan, siapa tahu?

Katakanlah, selepas Anwar pergi dan PR ditunjangi oleh bukan Melayu dan mendapat sokongan, ditambah menang pilihanraya umum serta dapat membentuk kerajaan di peringkat persekutuan, maka secara automatiknya individu itu layak untuk menjadi PM. Perlantikannya sah dan kepimpinannya harus diakui oleh seluruh rakyat kerana beliau diangkat melalui sistem demokrasi yang selama ini kita junjung tinggi.

Saya tak berniat mahu mengulangi hujah-hujah membenarkan PM diangkat dari bukan Melayu. Perkara ini telah diulas melalui tulisan terdahulu bertajuk "Perdana Menteri bukan Melayu?". Sila baca dan teliti untuk memahami justifikasi perlantikan PM di kalangan bukan Melayu, jika berlaku suatu hari nanti.

Akhir kalam, mesej Tun Dr. Mahathir itu harus dilihat secara mendalam dan difahami oleh ketiga-tiga pihak. Siapakah ketiga-tiga pihak ini? Pertama, parti pemerintah yang tetap teguh dengan "Ketuanan Melayu" mereka. Keduanya, pihak pembangkang yang rata-rata mereka memperjuangkan kesamarataan tanpa mengira latar belakang kaum, gender dan agama. Namun yang terlebih penting adalah yang ketiga ini, iaitu rakyat, yang dari mereka, kerana mereka, dan untuk merekalah sesuatu kerajaan itu ditubuhkan. Walau siapa saja berkuasa, niat dan tujuan itu hendaklah demi kepentingan rakyat terbanyak.

No comments: