Oleh Sang Kelembai Junior
Tanggal hari Sabtu bersamaan 8 Mac 2008 merupakan detik yang sangat-sangat bersejarah. Hari yang benar-benar mendatangkan kejutan maha besar kepada kedua-dua pihak, BN dan PR (dulu dikenali BA).
Terkejut BN berbeza dengan terkejut PR. Terkejut BN dek kerana pukulan kekalahan di lima negeri terkaya di Malaysia di samping kegagalan mempertahankan majoriti 2/3 kerusi di Parlimen.
Di peringkat Parlimen, prestasi BN tidaklah seburuk tahun 1969 bilamana BN cuma menang di 74 daripada 104 kerusi dipertandingkan. Pada tahun itu, kira-kira 51 peratus sahaja kerusi yang dimenangi BN dan itu keadaan yang sangat-sangat genting.
Manakala dalam PRU-12, BN menang di 140 kerusi daripada 222 yang dipertandingkan. Bermakna kira-kira 60 peratus kerusi menjadi milik mereka.
Namun berbeza di Parlimen, BN mempamerkan prestasi jauh lebih buruk daripada PRU 1969 di peringkat negeri. Jika tahun itersebut, BN cuma kehilangan Kedah dan Kelantan kepada Pas serta Pulau Pinang kepada Gerakan (sebelum menyertai BN), tapi PRU-12 menyaksikan pertambahan negeri jatuh ke tangan pembangkang iaitu Perak dan Selangor.
Ditambah pula dengan tewasnya ramai calon BN di Kuala Lumpur. Daripada 11, BN cuma menang satu kerusi melalui Menteri Wilayah Persekutuan, Dato' Seri Zulhasnan Rafique di Setiawangsa.
Bertitik-tolak dari keputusan PRU 8 Mac 2008 itu telah menyaksikan satira politik yang tidak berkesudahan hingga kini.
Kalau boleh disebutkan satu-persatu di sini seperti desakan perletakan jawatan PM Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi oleh ahli-ahli BN, penubuhan PR yang dilihat sebagai kerajaan alternatif terbaik menggantikan BN, kenaikan harga petrol di pasaran semasa serta kegagalan kerajaan menanganinya yang membangkitkan lagi kemarahan rakyat dan keluarnya parti komponen SAPP pimpinan Dato' Yong Teck Lee dari BN.
Tidak lupa juga dengan kemasukan kembali Ezam Mohd. Noor ke dalam Umno, kembalinya Dato' Seri Anwar Ibrahim ke Parlimen dengan kemenangan besar di Permatang Pauh sungguhpun dibelenggu tuduhan liwat, gagasan 16 September yang didendangkan oleh Anwar tidak kesampaian hingga kini dan berterusannya kemenangan PR di Kuala Terengganu yang menyaksikan BN kecundang dan merana kehilangan kerusi tersebut.
Namun peristiwa terbesar dan paling menggemparkan sudah pasti apa yang berlaku di Perak. Negeri yang mana majoriti rakyatnya memilih PR pada PRU-12 telah dirampas oleh BN secara tidak sah.
Hingga kini kemelut tesebut tidak langsung menampakkan tanda-tanda akan reda, apatah lagi berakhir. Perak yang dulunya pernah huru-hara disebabkan kewujudan dua Sultan dalam satu masa, kini dua MB pula dalam satu ketika.
Beberapa minggu lagi pula bakal menyaksikan Perhimpunan Agung Umno berlangsung. Agaknya kali ini merupakan perhimpunan termurung pernah dialami Umno terkesan dari PRU-12 lalu.
Dan kemudian, pada 7 April pertembungan PRK di dua Bukit, Bukit Gantang dan Bukit Selambau bakal sekali lagi menjadi medan ujian buat BN dan PR. Buat BN, kekalahan sekali lagi memberi isyarat bahawa peralihan kuasa di peringkat Pusat tidak membawa sebarang makna serta kejadian seperti di Perak tidak dapat diterima oleh rakyat terbanyak.
Buat PR pula, kemenangan sekali lagi menguatkan lagi hujah bahawa rakyat sudah benar-benar yakin bahawa PR adalah kerajaan alternatif terbaik untuk menggantikan BN. Ini juga membuktikan bahawa rakyat tetap bersama-sama PR sungguhpun pelbagai serangan dilakukan BN melalui media massa milik mereka.
Hari ini (8 Mac 2009) genap sudah setahun selepas peristiwa bersejarah tersebut. Setahun pertama telah kita sebagai rakyat Malaysia lalui dengan jayanya, sunggupun disulami suka dan duka. Bagaimana pula tempoh setahun yang kedua selepas ini, apa pula satiranya?
Not Exactly Like Riding a Bike
11 years ago
No comments:
Post a Comment