Friday, November 28, 2008

Perdana Menteri bukan Melayu?

Oleh Sang Kelembai Junior

Kenyataan mantan Perdana Menteri (PM) Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai orang bukan Melayu boleh dilantik jadi PM amat menarik untuk diulas. Masakan tidak, kerana selama ini kita menikmati era pemerintahan lima PM yg kesemuanya terdiri dari orang Melayu. Lebih menarik lagi, kenyataan seperti ini keluar dari mulut seorang yang pernah menjawat jawatan tertinggi dalam kerajaan yang sering diimpi-impikan itu. Banyak pihak pastinya kurang selesa dengan kenyataan mantan PM yang terkenal dengan sifat lantangnya itu. Namun, adalah amat penting untuk kita meneliti, benarkah seperti didakwa oleh Tun itu? Jika benar, di mana rasionalnya?

Dokumen yang paling penting untuk dirujuk bila dibentang permasalahan seperti ini adalah Perlembagaan itu sendiri. Sesuai dengan kedudukannya sebagai undang-undang tertinggi negara seperti tersebut dalam Perkara 4 (1) 'Perlembagaan ini adalah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas hari merdeka dan yang berlawanan dengan Perlembagaan ini hendaklah terbatal setakat yang berlawanan itu'.

Sesungguhnya Perlembagaan sendiri tidak pernah meletakkan peruntukan kriteria PM itu mesti dari kalangan Melayu dan beragama Islam. Yang disebut dengan jelas ialah bagaimana pihak yang mendapat kerusi terbanyak dalam Dewan Rakyat diberi kuasa untuk menamakan seorang ahli Dewan Rakyat dari pihak mereka yang mendapat sokongan majoriti untuk dinamakan sebagai PM.

Ini dapat dibuktikan melalui Perkara 43 (2) (a) dimana diperuntukkan 'Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu'. Manakala Perkara 43 (4) pula menyatakan 'Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong'. Tidak ada satu peruntukan pun yang menyatakan secara jelas bahawa seorang Perdana Menteri itu mesti terdiri dari orang Melayu beragama Islam.

Contohnya jika suatu hari nanti Parti Tindakan Demokratik (DAP) atau Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang ditunjangi bukan Melayu bercadang memilih bukan Melayu jadi PM, itulah yang bakal kita lihat. Tidak ada pihak ketika itu yang boleh mempertikaikan sebagaimana yang telah dipersetujui dalam Perlembagaan itu. Inilah perkara yang lurus dan paling selari dengan Perlembagaan. Kesimpulannya, benarlah seperti yang disebut oleh Tun itu dan mana-mana pihak yang membangkangnya, dinasihatkan supaya meneliti Perlembagaan semula. Malaysia berdiri di atas Perlembagaan dan ini akan kekal sehingga matahari terbit dari barat.

No comments: